Malaysia Airlines : Dimana silapnya?

0

Umpama awan hitam dan suram. Begitulah kemelut yang sekian lama menyelubungi syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines seakan-akan belum ada tanda kembali bersinar.

Walaupun telah menerima bantuan dana dalam usaha memulihkan kembali ekonomi syarikat, namun hasil yang diharapkan masih jauh dan samar.

Menyingkap kembali sejarah penubuhannya pada tahun 1947, dikenali sebagai Malayan Airways Limited (MAL) yang merupakan inisiatif bersama Ocean Company of Liverpool, Straits Steamship of Singapore dan Imperial Airways.

Dalam tempoh 10 tahun, MAL telah berkembang dan melebarkan sayap ke peringkat penerbangan antarabangsa.

Selepas tahun 1963, namanya ditukar kepada Malaysian Airways Limited hasil gabungan bersama Borneo Airways.

Dua tahun kemudian, syarikat penerbangan ini dijenamakan semula kepada Malaysia-Singapore Airlines (MSA).

Namun, selepas lapan tahun, MSA pula dibubarkan lalu negara memperkenalkan Malaysian Airlines Limited (sebelum itu Malaysian Airways Limited).

Penjenamaan semula diteruskan atas nama Malaysia Airlines System atau singkatannya MAS.

Pada ketika inilah MAS berjaya mencapai tahap kecemerlangan dan melalui fasa kegemilangan sekaligus menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Penstrukturan semula syarikat yang mengubah nama baharu, Malaysia Airlines Berhad (MAB) sekitar tahun 2015 dan kekal sehingga ke hari ini.

Sejak penubuhannya yang mengalami naik turun perniagaan, syarikat penerbangan ini telah menerima lebih 100 anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Perhatian dan sokongan rakyat Malaysia dan antarabangsa menjadikan MAS sentiasa ‘full flight’, merentasi seluruh pelosok dunia yang nyata menyumbang terhadap ekonomi negara serta menjadi kebanggaan warga kerja MAS.

Entah dimana silap dan perhitungan, MH mengalami siri kerugian tahun demi tahun.

Pada satu tahap sehingga memaksa kerajaan untuk campur tangan dan menghulurkan dana bagi tujuan menyelamatkan syarikat penerbangan nasional ini.

Bagaimanapun, tindakan penstrukturan semula (yang membawa kepada kehilangan pekerjaan kepada beribu-ribu kakitangan), penjenamaan semula, bantuan dana dan lain-lain usaha masih belum menampakkan hasilnya yang positif atau kata mudah, gagal!

Terkini, Khazanah Nasional dilaporkan tidak menolak kemungkinan untuk bertindak menutup operasi syarikat sekiranya hasil rundingan bersama syarikat pajakan berhubung rancangan penstrukturan semula tidak memihak kepada MAB.

Sebak dada mendengar kenyataan ini. Persoalannya, apakah silap dan di mana puncanya?

Adakah kerana wabak COVID-19 semata-mata atau tragedi MH370 dan MH17 menyumbang kepada kegagalan ini?

Bagaimana pula nasib beribu-ribu  kakitangan MAB yang majoritinya adalah rakyat Malaysia? Tiada talian hayat lagikah sebagai penyelamat?

Kerana akhirnya yang menjadi mangsa tidak lain dan tidak bukan adalah kakitangan atau pekerja bawahan sahaja?

Semoga apa langkah yang sedang diusahakan, diharap kali ini ia akan membuahkan hasil positif dan mampu menarik Malaysia Airlines keluar dari kancah kerugian, dan seterusnya mengembalikan zaman kegemilangan penerbangan kebanggaan negara.

Pasti kita tidak mahu mendengar kenyataan, “Malaysia Airlines dalam kenangan”, atau inikah pengakhirannya? Hanya masa yang menentukan 💙✈️

Laporan Zuraihan Mukhtar & Suhaila Megat untuk The Malaya Post.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply