“Mai teruih ke pejabat, kita bantu” – Mukhriz Mahathir

0

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata rakyat Kedah termasuk peniaga yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 boleh langsung ke Pejabat Menteri Besar untuk bantuan.

Bagi golongan warga emas yang mungkin sukar untuk menulis borang akan dimudahcara agar bantuan yang dikhususkan dapat disalurkan secepat mungkin.

“Mai teruih ke pejabat, memang ada kena isi borang namun kita akan bantu mudahkan, peniaga yang terjejas akibat Covid-19 juga kita bantu”, katanya ketika melakukan tinjauan ke pasar ikan di Kuala Jerlun semalam bagi bertemu dengan para nelayan dan peniaga di sana bagi meninjau bekalan dan harga ikan di sana.

Tambahnya kerajaan negeri Kedah berharap agar bekalan ikan segar yang ada mencukupi untuk menampung keperluan masyarakat.

Dalam pada itu Kerajaan negeri Kedah turut memperuntukkan RM21 juta sebagai inisiatif bagi mengurangkan beban ekonomi akibat penularan coronavirus, COVID-19 termasuk RM10 juta bagi pakej rangsangan ekonomi.

Datuk Seri Mukhriz berkata inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi itu akan memberi manfaat kepada peniaga dan penjaja kecil, pekerja harian, peniaga persendirian, pemandu teksi, pemandu bot, pemandu pelancong.

Daripada jumlah keseluruhan itu, katanya, sebanyak RM3.6 juta bantuan keperluan asas akan disalurkan kepada 36 Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri, DUN.

“Sebanyak RM550,000 diagihkan melalui bantuan Food Bank kepada pelajar institut pengajian tinggi, IPT seluruh Kedah termasuk kepada pelajar tajaan kerajaan negeri di Mesir dan Jordan. RM400,000 pula disediakan untuk bantuan sokongan petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis, Angkatan Pertahanan Awam, APM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia RELA, Imigresen dan agensi terbabit.

“Sementara itu, RM450,000 lagi adalah bantuan barangan perubatan seperti penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman,” katanya dalam kenyataan.

Datuk Seri Mukhriz juga berkata sebanyak RM4.5 juta gaji pekerja kontrak, sementara, guru Kelas Agama dan Fardu Ain, KAFA pekerja sambilan harian akan dipercepatkan.

Selain itu, katanya, sebanyak RM300,000 juga akan disalurkan kepada Pusat Kuarantin Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM negeri.

“RM1.2 juta pula akan disalurkan Lembaga Zakat Negeri Kedah LZNK menerusi bantuan ‘Food Bank’ untuk 576 masjid di seluruh negeri yang akan memberi manfaat kepada 74,880 penerima.

“Bagi tidak membebankan orang ramai kerajaan negeri akan melanjutkan tempoh bayaran cukai tanah sehingga 30 September ini,” katanya. –THE MALAYA POST

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply