Letak jawatan jika tak selesa dengan kerajaan – Hadi Awang

0

Penjawat awam mesti mengikut arahan kerajaan dikuasai parti yang memerintah walaupun tidak menyokong parti yang membentuk kerajaan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, jika tidak selesa dengan kerajaan bukan daripada parti yang disokong, secara moral mereka boleh meletakkan jawatan.

“Sebagai contoh, seorang pemain bola sepak profesional yang berasal dari sebuah negeri seperti Kedah. Kemudian, dia menerima tawaran untuk bermain di Selangor kerana ditawarkan dengan bayaran yang lebih mahal.

“Dalam perlawanan bola sepak antara negeri asalnya iaitu Kedah dengan pasukan bola sepak Selangor, tiba-tiba dia menyerang pintu gol Selangor untuk memenangkan pasukan negeri asalnya. Ini adalah suatu perkara yang salah dari segi moral.

“Begitulah mereka yang menyokong Pakatan Harapan (PH) dan berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), tiba-tiba mengikut arahan PH yang sudah tidak menjadi kerajaan lagi,” katanya dalam hantaran Facebook beliau semalam.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu, doktrin pengasingan kuasa ialah suatu perkara yang dilaksanakan dalam pentadbiran dan pengurusan secara khususnya di dalam lapangan masing-masing tanpa berlaku gangguan terhadap tugasnya.

Namun begitu katanya, setiap badan wajib mengikut dasar kerajaan dan bergerak berdasarkan polisi yang telah ditentukan oleh kerajaan yang memerintah.

“Terdapat beberapa negara memilih pendekatan dengan meletakkan jawatan penting dalam setiap kementerian dan jabatan mengikut parti yang memerintah.

“Sekiranya parti yang memerintah itu bertukar, maka mereka yang dilantik itu juga mesti ditukar. Sebaliknya, ada juga negara apabila sesebuah kerajaan yang memerintah bertukar parti, individu yang dilantik tetap dikekalkan jawatan masing-masing, tanpa ditukar dengan orang lain,” katanya.

Datuk Seri Abdul Hadi menambah, soal sama berlaku melibatkan pemilihan dalam kalangan teknokrat secara khusus oleh pihak kerajaan hendaklah mengikut panduannya berdasarkan bidang kuasa politik pemerintah.

“Pihak teknokrat pula hendaklah melaksanakan tugas mengikut dasar dan polisi yang telah ditetapkan oleh pihak pemerintah, dibahagi mengikut konsep pengasingan kuasa, namun tidak terputus demi memelihara tanggungjawab secara kolektif dan saksama,” katanya.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply