Lelaki Myanmar maut dipercayai dibunuh dalam pergaduhan

0

Di Kampar, Perak seorang lelaki warga Myanmar ditemukan maut dengan kesan koyakan di muka dan hentakan di kepala disyaki menggunakan tukul besi.

Kejadian berlaku di kebun sayur dekat Ayer Hitam Labu, Tronoh Mines pagi tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata mayat lelaki berusia 30-an itu ditemukan berlumuran darah oleh pemilik kebun berusia 52 tahun kira-kira pukul 7 pagi.

Dan ketika polis sampai di lokasi kejadian, mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang tanpa baju dan hanya berseluar pendek berwarna hijau.

Pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati beberapa kesan hentakan objek tumpul di kepala dan koyakan di bahagian muka.

“Lokasi mangsa dijumpai kira-kira 20 meter dari pondok yang digunakan sebagai tempat penginapan, namun, pemeriksaan di pondok berkenaan tidak menjumpai apa-apa pengenalan diri lelaki terbabit.

“Siasatan oleh Unit Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Unit Anjing Pengesan (K9) di lokasi bagaimanapun menemukan tukul besi yang terdapat kesan darah, sebilah parang berukuran 60 sentimeter dan botol serta tin minuman keras berhampiran mayat lelaki itu,” katanya.

Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca daripada pergaduhan antara mangsa dan suspek ketika mabuk.

Suspek dipercayai menggunakan tukul besi yang dijumpai di tempat kejadian sebagai senjata untuk memukul bahagian kepala mangsa.

Bertindak atas maklumat, seorang lelaki Myanmar telah dicekup di Stesen Bas Kampar Putra pada jam 3 petang.

Lelaki itu merupakan seorang daripada pekerja di kebun sayur tersebut tetapi tinggal di pondok berlainan.

“Siasatan awal terhadap lelaki berusia 30 tahun itu memaklumkan kejadian berlaku antara pukul 1 hingga 2 pagi namun dia tidak nampak kejadian itu kerana sedang tidur,” katanya.

Tambah beliau, suspek utama telah mengejutkan lelaki itu dan mengaku dia yang memukul mangsa sebelum melarikan diri dengan membawa beg pakaian.

“Tangkapan juga beritahu dia melarikan diri selepas kejadian kerana berasa panik dan takut. Tangkapan ditahan bagi membantu siasatan.

“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan tiga rakannya yang juga warga Myanmar dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com

 

Leave a Reply