Latheefa Koya letak jawatan

0

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya mengesahkan beliau menghantar surat perletakan jawatan kepada Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 Mac lalu, tertakluk kepada kelulusan Yang di-Pertuan Agong.

Memetik kenyataan media Latheefa berkata surat itu dihantar pada Isnin lepas dan ia adalah keputusannya sendiri.

Beliau berkata spekulasi yang mendakwa beliau mendapat tekanan adalah tidak berasas malah niatnya hanyalah untuk kembali kepada amalannya , menyokong hak asasi manusia.

Malah dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri, mereka turut berbincang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin memahami kedudukannya.

Katanya beliau mempunyai keyakinan bahawa SPRM tidak akan sekali-kali berkompromi terhadap rasuah seiring dengan keupayaan pegawainya serta sokongan penuh Perdana Menteri.

Beliau turut memberi taklimat kepada Perdana Menteri mengenai tindakan yang berterusan dan usaha untuk pemulihan 1MDB yang dicuri dari luar negara malah Perdana Menteri menyokong penuh tindakan ini.

Latheefa juga mengambil kesempatan mengucapkan selamat kepada kerajaan baharu agar dapat mencapai kejayaan dalam memajukan kebajikan dan kepentingan rakyat.

Sepanjang minggu ini, Latheefa telah bertemu dengan timbalannya, Dato’ Seri Azam Baki serta ketua-ketua jabatan SPRM, untuk memastikan penyerahan teratur tugas supaya ianya berjalan seperti biasa mengikut kemampuan para pegawainya.

Latheefa meninggalkan kedudukan dengan yakin bahawa SPRM akan terus menjadi sebuah badan bebas, tanpa kompromi dan tidak mengenal penat lelah dalam memerangi rasuah, tanpa mengira kedudukan atau kesetiaan politik pelaku malah turut berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, rakan-rakan dalam SPRM dan rakyat untuk semua sokongan yang di terima sepanjang tempoh berkhidmat dengan SPRM.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply