Laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook hina Permaisuri Agong

0

Sejak kelmarin sebanyak sembilan laporan polis telah dibuat terhadap pemilik akaun Facebook yang mengeluarkan kenyataan penghinaan terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata laporan polis yang telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam adalah sebagai satu peringatan kepada rakyat supaya menghormati Institusi Diraja.

Beliau menegaskan bahawa Institusi Raja, Agong dan Permaisuri adalah merupakan satu lambang, satu ikon kepada negara jadi tidak seharusnya kita sebagai rakyat mengata dan menghina sewenang-wenangnya dengan panggilan-panggilan yang tidak baik dan biadap di media sosial.

Jika dilihat sebelum ini, akaun Facebook yang menggunakan nama ‘Nengtung Ting’ ditulis dalam bahasa Cina telah menghina dan mencerca KDYMM Permaisuri Agong berikutan pengunaan tulisan jawi di dalam akaun Twitter baginda.

Malah katanya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini boleh mencetuskan kebencian serta perasaan tidak senang di kalangan rakyat.

“Justeru itu kita membuat laporan polis supaya menjadi satu pengajaran kepada rakyat negara ini.

“Saya meminta polis mengambil tindakan segera terhadap pengkhianat yang berselindung di sebalik nama Nengtung Ting ini dan beberapa pengguna lain yang jelas menghina KDYMM Raja Permaisuri Agong,” katanya. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply