Lantik Azalina untuk tutup mulut? – Haniff Khatri

0

Pelantikan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) dipercayai untuk menutup mulut beliau dari membangkitkan perkara-perkara yang mungkin negatif kepada kerajaan.

Demikian dakwa Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla ketika ditemubual secara eksklusif oleh The Malaya Post.

“Melantik seorang ahli parlimen yang sudahpun mempunyai tanggungjawab kepada pengundi-pengundi di kawasan beliau dan berkhidmat di parlimen sebagai ahli dewan rakyat untuk menjadi penasihat beliau menjadi satu perkara yang nampak seolah-olah hendak memberi kedudukan kepada MP (ahli parlimen) tersebut untuk memuaskan hati MP (ahli parlimen) itu supaya menutup mulut, tidak membangkitkan perkara-perkara yang mungkin negatif kepada kerajaan.

“Di sini saya tidak persoalkan kewibawaan dan kebolehan (Datuk Seri) Azalina Othman Said. Beliau memang mempunyai kelayakan undang-undang dan kita tahu beliau ada firma undang-undangnya sendiri tapi pokoknya di sini kita juga tahu sejak kebelakangan ini (Datuk Seri) Azalina Othman Said membangkitkan perkara-perkara yang betul berkaitan kekhilafan-kekhilafan tadbir urus negara tentang reform yang perlu di dalam parlimen dan sistem tadbir urus kerajaan”, katanya.

Tambah beliau, melantik individu lain sebagai penasihat undang-undang kepada Perdana Menteri kini sudah jadi tabiat dan ia tidak sihat.

Sedangkan katanya tugas untuk menasihat Perdana Menteri dalam prihal undang-undang sebenarnya adalah tanggungjawab Peguam Negara.

“Ini satu corak yang tidak sihat terutamanya berkaitan penasihat undang-undang ini bagi saya kita kena faham bahawa memang kita ada Peguam Negara yang dilantik oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri pada masa pelantikan Peguam Negara itu”, katanya.

Ujarnya lagi, tanggungjawab Peguam Negara mencakupi, menjadi ketua pendakwaraya dalam kes-kes jenayah, sebagai penasihat rasmi kepada kerajaan yakni kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri.

Ia termasuk memberi nasihat apabila perlu dan jika perlu kepada Ke Bawah Duli Yang Dipertuan Agong berkaitan urusan Baginda Tuanku di bawah tanggungjawab-tanggungjawab dinyatakan dalam perlembagaan berhubung urusan Agong.

“Nasihat utama yang diberi oleh Peguam Negara kepada mana-mana kerajaan adalah kepada Perdana Menteri dan kerajaannya. Sudah ada penasihat rasmi kerajaan.

“Tugas ketiga Peguam Negara adalah untuk memberi nasihat apabila perlu dan jika perlu kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkaitan urusan Baginda Tuanku di bawah tanggungjawab-tanggungjawab dinyatakan dalam perlembagaan berhubung urusan YDPA. Jadi sudah ada Peguam Negara yang sepatutnya menasihati Perdana Menteri”, katanya.

Ujar Haniff Khatri, Datuk Seri Azalina sepatutnya dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat atau Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan bukan sebaliknya.

Turut diselar pelantikan menteri undang-undang dan parlimen yang kini menjadi portfolio khusus kabinet.

“Sekarang ini menjadi satu tabiat untuk melantik di dalam Jabatan Perdana Menteri satu portfolio Menteri Undang-undang dan Parlimen. Jadi dalam kabinet sekalipun ada menteri iaitu semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin kita ada (Datuk Seri ) Takiyuddin Hassan, dan sekarang kita ada (Dato’ Sri) Wan Junaidi.

“Jadi mereka ini pun kononnya adalah orang yang mempunyai pengetahuan undang-undang yang sepatutnya memberi nasihat dari semasa ke semasa kepada Perdana Menteri dan kabinet semasa menyuarat kabinet secara khususnya.

“Tabiat melantik orang lain untuk jadi penasihat bagi saya tidak sihat. Tambahan pula Perdana Menteri boleh melantik orang dari luar, peguam-peguam swasta dari luar jika beliau hendak penasihat undang-undang, as a private secretary atau dipanggil setiausaha dalam bidang undang-undang”, katanya.

Kepada satu soalan lain bersabit perbezaan skop tugas penasihat undang-undang dan Peguam Negara, ini jawab beliau.

“Apa perbezaan skop tugas antara penasihat undang-undang dan Peguam Negara the do’s & the don’t saya rasa soalan tu tak boleh dijawab oleh kita, sebab benda tu tak wujud dalam perlembagaan, tak wujud dalam sistem kedaulatan undang-undang dan perkara ini cuma (Datuk Seri) Ismail Sabri sahaja boleh jawab kenapa beliau masih perlu dan apakah skop kerja (Datuk Seri) Azalina Othman Said sebagai penasihat undang-undang kepada beliau. Inilah perkara yang tak perlu diadakan, akan muncul soalan-soalan yang munasabah apakah skop kerja beliau.

“Jadi (Datuk Seri) Ismail Sabri jawab dan bagi saya (Datuk Seri) Ismail Sabri dan mana-mana kerajaan akan datang dari mana-mana parti politik sekalipun berhentilah melantik semata-mata untuk memberi jawatan supaya mereka menyokong kedudukan Perdana Menteri, that’s not right”, katanya.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia).

Difahamkan, beliau menerima surat pelantikan itu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply