Lagi 563 guru di Johor masih enggan divaksin

0
Foto Ihsan EXCO

Di Johor seramai 563 guru, masih enggan divaksin atas alasan faktor kesihatan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, seramai 200 guru lagi yang enggan divaksin, tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan walaupun sudah dinasihatkan.

Katanya, kebanyakan mereka yang enggan divaksin adalah guru wanita.

Alasan sedang hamil menjadi kebimbangan utama, suntikan vaksinasi akan menjejaskan kandungan serta kesihatan mereka.

“Ada guru wanita yang hamil bimbang suntikan itu akan memberi kesan dan kita tidak paksa mereka. Namun, guru wanita berkenaan berjanji untuk mengambil suntikan vaksin selepas bersalin sekali gus menegaskan bukan antivaksin.

“Daripada jumlah 563 itu, seramai 200 guru lagi yang enggan divaksin tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan namun masih enggan berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Program Imunisasi Kebangsaan Bagi Vaksinasi Pelajar Sekolah Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya, hari ini.

Bulan lalu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) mendedahkan seramai 779 guru di Johor menolak untuk divaksinasi.

Sementara itu, Mazlan berkata, bagi 200 guru itu yang masih ingkar dan menolak untuk divaksin, pihaknya menyerahkan perkara berkenaan kepada Kementerian Pendidikan untuk mengambil tindakan lanjut.

Namun katanya, pendekatan berhemah dengan memberi penjelasan dan penerangan berkenaan vaksinasi akan terus dilakukan dalam usaha memberi kefahaman yang jelas kepada mereka.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan guru yang enggan divaksin itu amat kecil iaitu kira-kira satu peratus daripada 48,000 guru yang terdapat di Johor

Beliau menjunjung kasih dengan keprihatinan Tunku Mahkota Johor yang sanggup bertemu guru yang enggan divaksin pada 27 Ogos lalu.

“Kita lihat selepas perjumpaan Tunku Ismail jumlah guru menolak vaksin berkurangan dan perjumpaan ini menampakkan kesannya.

“Tunku Ismail semasa pertemuan itu berkongsi pengalaman, suasana (mengambil vaksin) dan memberitahu persepsi dan pendapat baginda sendiri,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply