Kuatkuasa tindakan tatatertib penyelesaian terbaik isu guru tolak vaksin

0

Susulan isu guru yang menolak vaksin Covid-19.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata, penguatkuasaan tindakan tatatertib adalah kaedah penyelesaian terbaik bagi menangani isu berkenaan.

Ini kerana ia mampu mengubah sikap serta mengurangkan kadar guru menolak vaksinasi.

“Saya rasa itu satu perkembangan baik ke arah hendak menyelesaikan perkara ini.

“Dengan adanya penguatkuasaan peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu, saya yakin semakin kurang guru yang menolak vaksin.

“Kita pun dapat maklumat daripada ahli memang sudah ada berlaku perubahan daripada segi sikap,” katanya.

Lapor Harian Metro, pendirian NUTP, menurut Aminuddin, membuat pertukaran guru yang menolak vaksin ke sekolah lain tidak akan menyelesaikan malah menambah masalah di tempat baharu.

“Saya tak anggap mereka ini tak mahu vaksin (tetapi) mereka menolak atas pelbagai faktor.

“Saya rasa tidak wajar ditukarkan kerana tidak selesaikan masalah, malah ‘pindahkan’ masalah itu ke sekolah baharu.

“Selain penguatkuasaan peraturan tatatertib itu, kaedah terbaik kita perlu teruskan sesi penerangan kepada mereka walaupun sudah banyak kali diadakan kerana lambat-laun saya percaya guru menolak vaksin akan semakin berkurangan,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan yang senada dengan pandangan itu berkata, berikan golongan guru enggan divaksin itu peluang.

“Saya mencadangkan mereka ini dikumpulkan semula bagi sesi penerangan sehabis-habisan daripada perspektif perubatan dan agama kerana saya percaya mereka ini ada sebab tertentu menolak yang membuatkan mereka keliru.

“Kemudian ada juga cadangan supaya kerajaan menasihatkan mereka berundur kerana tidak mengikut arahan jabatan. Mungkin ini antara pendekatan sesuai bagi menangani isu itu,” katanya.

Jelasnya, satu kaedah tertentu mencakupi pengasingan antara pelajar sudah divaksin dan sebaliknya perlu dilakukan dalam kadar segera.

“Perlu ada satu kaedah bersesuaian sama ada pelajar ini diasingkan atau boleh bersama dengan rakan yang sudah divaksin dalam kelas sama.

“Saya juga mencadangkan orang luar yang tidak lengkap vaksin tidak dibenarkan masuk berurusan dalam kawasan sekolah,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply