KPT tawar Geran Penyelidikan Khas 20 bidang utama bagi menghadapi cabaran pasca COVID-19

0

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menawarkan geran penyelidikan khas untuk dibida terbuka kepada semua pensyarah Universiti Awam (UA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bagi menjalankan penyelidikan terhadap bidang-bidang kritikal yang dikenal pasti berkait rapat dengan masyarakat bagi menghadapi Pasca COVID-19.

Menurut kenyataan media kementerian hari ini, penawaran geran penyelidikan yang bersifat jangka pendek ini adalah usaha KPT dalam menyediakan sumber rujukan kepada Kerajaan
terutamanya kepada Kementerian berkaitan sebagai persediaan merangka polisi atau dasar dalam menghadapi senario kehidupan selepas wabak COVID-19.

TERBUKA KEPADA 22,000 TENAGA AKADEMIK DAN PENYELIDIK

KPT yang mempunyai sumber tenaga akademik serta penyelidik berjumlah hampir 22,000 orang dan daripada jumlah itu, kira-kira 3,000 adalah pensyarah bertaraf Profesor dan sekitar 4,000 orang bertaraf Profesor Madya secara jelas dilihat dapat membantu negara memberikan idea untuk keluar daripada kemelesetan ekonomi selain menghadapi kehidupan baru bagi mengelakkan wabak COVID-19 menular semula.

MINIMA RM20,000 MELIPUTI 20 BIDANG UTAMA

KPT akan memberikan sekurang-kurangnya RM20,000 bagi setiap penyelidikan yang dijalankan yang meliputi 20 bidang utama.

Antara bidang kajian penyelidikan yang dikenal pasti amat berkait rapat dengan masyarakat bagi menghadapi realiti kehidupan selepas tempoh tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan bagi menangani penularan wabak COVID-19 adalah kesan terhadap ekonomi, kesihatan awam, keselamatan, pelancongan, perdagangan, teknologi maklumat, pendidikan dan keselamatan makanan (food security). Setiap kertas cadangan penyelidikan boleh dibuat secara individu atau berkumpulan tidak melebihi 3 orang.

Permohonan geran penyelidikan khas ini, akan dibuka mulai 15 April sehingga 30 April 2020 dengan tempoh masa kajian adalah selama 6 bulan.

Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) akan diberikan tanggungjawab bagi menyelaras permohonan dan penilaian geran penyelidikan tersebut dalam menentukan kesesuaian penyelidikan ini untuk dilaksanakan. Setiap hasil penyelidikan ini, akan dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Geran Penyelidikan KPT dan sekiranya bersesuaian akan dibawa ke peringkat

Kabinet bagi mengenal pasti sama ada ianya sesuai untuk dilaksanakan di Kementerian berkaitan.

Makluman rasmi pembukaan geran tersebut boleh diakses melalui Malaysia Greater Research N etwork System (MyGRANTS).

www.mygrants.gov.my

Leave a Reply