KPT-MEDAC Siswapreneur tawar pembiayaan mikro kredit kepada usahawan pelajar

0

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi melaksanakan Program KPT-MEDAC Siswapreneur dengan peruntukan RM20 juta.

Dalam satu kenyataan media, KPT memberitahu program yang menawarkan pembiayaan mikro kredit kepada golongan usahawan pelajar melalui TEKUN Nasional mensasarkan usahawan pelajar dari 15 Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti.

“Melalui program ini, usahawan pelajar berpeluang untuk memula dan mengembangkan perniagaan mereka semasa dalam tempoh pengajian.

“KPT menjangkakan bahawa dengan adanya program-program kerjasama seumpama ini, jumlah usahawan pelajar dan usahawan graduan akan dapat ditingkatkan, selain dapat membantu meringankan beban kewangan mereka.

“Sebagai permulaan, Program KPT-MEDAC Siswapreneur akan dilaksanakan secara rintis di 15 buah IPT terpilih untuk tempoh enam bulan pertama sebelum diperluaskan kepada IPT lain,” ujar pihak terbabit.

Pihak kementerian juga menyatakan pusat atau Unit Keusahawanan IPT akan membuat saringan ke atas permohonan pembiayaan daripada usahawan pelajar yang berpotensi sebelum dikemukakan kepada TEKUN Nasional untuk kelulusan.

IPT perintis yang telah dikenal pasti ini terdiri daripada empat Universiti Awam dan sebelas buah politeknik dan kolej komuniti antaranya Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP),

Selain itu, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Politeknik Sandakan Sabah (PSS), Politeknik Ungku Omar (PUO), Politeknik Kuching, Sarawak (PKS), Kolej Komuniti Baling, Kolej Komuniti Kok Lanas, Kolej Komuniti Arau, Kolej Komuniti Manjung dan Kolej Komuniti Masjid Tanah.

Pada acara menandatangani MoU berkenaan, Ketua Setiausaha KPT diwakili oleh Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff dan Pengerusi TEKUN Nasional, Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir dengan disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply