Monday, May 10, 2021
Home KPT KPT-CAP beri sinar baharu buat graduan, tingkatkan kebolehpasaran

KPT-CAP beri sinar baharu buat graduan, tingkatkan kebolehpasaran

0

KUALA LUMPUR : Usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan negara dizahirkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (KPT-CAP) dengan dana sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi program itu.

Menyasarkan sekurang-kurangnya 20,000 graduan bakal menikmati manfaat program itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata KPT menggerakkan tiga bidang utama bagi inisiatif itu iaitu ‘Job Matching and Placement’, Program Berterusan Keusahawanan dan Gig Economy (ekonomi gig).

“Pertama ialah Job Matching and Placement, iaitu program dirancang untuk meningkatkan kemahiran peserta berdasarkan keperluan industri.

“Graduan yang mengikuti program ini dengan jayanya akan ditawarkan pekerjaan di syarikat yang memberikan jaminan pekerjaan melalui letter of commitment,” katanya ketika ditemubual secara eksklusif oleh wartawan The Malaya Post.

Datuk Seri Dr. Noraini berkata, program berterusan keusahawanan pula merupakan program latihan yang berupaya meningkatkan kemahiran dan pengetahuan peserta dalam bidang keusahawanan sehingga berupaya menubuhkan syarikat pemula, dengan bantuan pembiayaan yang disediakan agensi pembiaya diiktiraf akan diberikan kepada graduan.

“Ketiga pula ialah program yang bercirikan ekonomi gig. Program latihan ini mampu membantu peserta menjana pendapatan melalui aktiviti berbentuk freelancing.

“Hingga hari ini saja, 87 program disusun membabitkan sinergi dengan tidak kurang daripada 154 buah syarikat,” katanya yang menjelaskan program yang dirancang adalah suatu manifestasi komitmen KPT dalam melahirkan graduan komited, berkualiti, mampan, bercirikan keusahawanan, serta mampu berdaya saing di semua peringkat.

Mengambil kira impak pandemik COVID-19, beliau mengunjurkan 25 peratus atau 75,000 bakal graduan mungkin terjejas peluang mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.

“Pada tahun 2020, dijangkakan sejumlah 300,000 graduan bakal menamatkan pengajian masing-masing. Justeru, berdasarkan 41,161 graduan yang belum bekerja dalam tahun 2019, serta unjuran 75,000 bagi tahun semasa, maka dianggarkan seramai 116,161 graduan yang perlu diberi perhatian untuk ditingkatkan lagi kebolehpasaran mereka,” ulas beliau.

Oleh itu, graduan yang ingin menyertai KPT-CAP boleh memohon melalui portal sehenti iaitu Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT) yang juga menyediakan maklumat seperti perkhidmatan padanan pekerjaan, permohonan untuk mengikuti program ‘reskilling’ dan ‘upskilling’, permohonan kemudahan penajaan dan bantuan kewangan melanjutkan pengajian, perkhidmatan untuk mendapatkan kaunseling kerjaya dan sebagainya.

Mengenai sambutan permohonan graduan bagi program itu, Noraini sebelum ini memaklumkan pada Dewan Rakyat, sehingga 28 Okt lalu, seramai 31,942 graduan mendapat penempatan pekerjaan selepas berdaftar dengan portal GREaT, manakala 122,702 graduan mendaftar untuk dipadankan dengan kekosongan perjawatan dalam portal itu.

Sementara itu, ujar Datuk Seri Dr. Noraini, KPT juga sudah mengemukakan cadangan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk meneruskan pelaksanaan program MyBrain15 atas kejayaannya memberikan penajaan kepada 56,910 pelajar setakat ini.

“Proses padanan pekerjaan kepada graduan yang masih belum bekerja turut dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi portal MyFutureJobs,” ujar beliau.

Inisiatif lain turut diambil bagi membantu mahasiswa mengembang dan meningkatkan perniagaan masing-masing, KPT dengan kerjasama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) turut memperkenalkan Skim Pembiayaan Mikro.

Tambahnya, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pula akan membiayai program keusahawanan berkonsepkan mentor-mentee untuk membolehkan bimbingan secara langsung daripada usahawan yang sudah berjaya.

Pada 18 Nov lalu, Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) turut diadakan antara KPT dan PUNB bagi menjalin kerjasama meningkatkan kebolehpasaran graduan Bumiputera dalam bidang keusahawanan.

Datuk Seri Dr. Noraini dalam satu kenyataan media berkenaan MOU tersebut berkata wujud kegusaran di pihaknya akan nasib bakal graduan dalam tempoh ekonomi yang tidak menentu akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara pada ketika ini.

Oleh yang demikian, beliau percaya dalam bidang keusahawanan, seseorang itu bukan sahaja mampu menjana pendapatan yang berganda, tetapi juga berupaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada individu lain dan kerjasama ini bersetuju merangka strategi baharu bagi memantapkan lagi usaha meningkatkan penguasaan kemahiran keusahawanan dalam kalangan graduan.

Selain itu, menerusi pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lalu, pelbagai inisiatif bakal dilaksanakan KPT dalam usaha membantu graduan Malaysia, bersesuaian dengan situasi COVID-19 negara.

Antaranya, inisiatif KPT-PACE (Kementerian Pengajian Tinggi persijilan profesional) yang memberi berita baik dan harapan baharu buat graduan, memandangkan RM150 juta diperuntukkan bagi program itu bagi penawaran baucar RM3,000 kepada setiap graduan baharu untuk mengikuti kursus sijil profesional.

Program itu sememangnya menggalakkan rakyat bekerja, mengurangkan kadar pengangguran, selain memberi daya tambah serta kemahiran baharu kepada graduan terutamanya dalam tempoh kini, dengan jangkaan 50,000 graduan bakal mendapat manfaat program itu.

Dalam belanjawan yang bertemakan Belanjawan 2021: Teguh Kita, Menang Bersama, KPT telah diperuntukkan sebanyak RM14.4 bilion, dengan Perbelanjaan Mengurus RM11.58 bilion dan Perbelanjaan Pembangunan RM2.82 bilion. –THE MALAYA POST

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply