Korek tahi telinga, perlu atau tidak?

0

Pernahkah anda terfikir bagaimanakah cara terbaik untuk mengorek tahi telinga?

Apakah penggunaan putik kapas merupakan kaedah paling berkesan untuk mengeluar dan membersihkan tahi bahagian dalam telinga?

Adakah selamat apabila membersihkan telinga dengan menggunakan pengorek telinga besi?

Pakar Telinga, Hidung Dan Tekak, Doktor Tengku Ezulia berkongsi jawapan di platform Instagram peribadinya.

“Sebenarnya tidak perlu pun mengorek tahi telinga.

“Katakan ada tahi telinga pada saluran telinga. Badan kita mempunyai proses semulajadi untuk menolak keluar tahi tersebut. Ia akan keluar tanpa perlu kita mengoreknya.

“Kemudian, anda hanya perlu membersihkannya di bahagian luar telinga dengan menggunakan kain atau tisu bersih. Itu sahaja,” katanya.

Menurut beliau, jika kita mengorek telinga, ia akan membantutkan proses pengeluaran tahi telinga secara semulajadi.

“Apa yang akan terjadi, tahi telinga akan masuk lebih dalam lagi hingga ke gegendang telinga. Ia akan mengeras dan tersumbat. Akibatnya anda akan merasa sakit dan mengalami gangguan pendengaran.

“Jika ini berlaku, anda perlu berjumpa doktor telinga untuk mendapatkan ubat mencairkan tahi telinga. Atau doktor mungkin melakukan proses menyedut tahi telinga tadi,” katanya.

Doktor Tengku Ezulia juga menasihatkan orang ramai agar menjaga kebersihan dengan cara membersihkan bahagian luar dan cuping telinga setiap kali selepas mandi.

Semoga bermanfaat.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply