Korban pertama di Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal zahir rasa dukacita, rayu rakyat patuhi PKP

0

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mengulangi rayuan kepada semua rakyat untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dengan duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya perlu sahaja, serta mengamalkan jarak sosial (social distancing) seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita perlu merasa bimbang kerana dua daerah di negeri ini iaitu Hilir Perak dan Kinta telah diklasifikasikan sebagai kawasan Zon Merah selepas melepasi paras 40 kes positif COVID-19, dengan masing-masing mencatatkan 48 dan 41 kes positif sehingga semalam.

“Kes jangkitan positif di seluruh negeri Perak terus meningkat kepada 151 kes positif sehingga semalam (26Mac) melibatkan hampir kesemua daerah di negeri ini, kecuali Kampar,” ujar beliau.

Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita di atas korban pertama wabak COVID-19 di Perak melibatkan seorang pesakit berusia 62 tahun yang berasal dari Kajang, Selangor.

“Saya percaya pasukan perubatan di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh telah melakukan yang terbaik untuk merawat mangsa sejak dirujuk ke hospital itu pada 23 Mac lalu.

“Sementara pihak Kementerian Kesihatan Malaysia menjalankan siasatan ke atas kemungkinan kaitan mangsa dengan mana-mana kluster COVID-19,” katanya.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply