Kongres Angkatan Muda Keadilan kecoh dengan insiden tumbuk menumbuk, perwakilan tidak puas hati kerana tidak dibenarkan masuk ke dewan walaupun mempunyai pas

0

AYER KEROH: Kekecohan telah berlaku pada persidangan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK), apabila beberapa perwakilan sayap itu dan anggota parti saling bertumbuk.

Kejadian itu berlaku di ruang legar dewan persidangan ketika perbahasan ucapan dasar Ketua AMK rancak berlangsung di dalam dewan berkenaan.

Menurut laporan Berita Harian, insiden berlaku kira-kira jam 12 tengah hari itu apabila sekumpulan perwakilan AMK tidak puas hati kerana tidak dibenarkan masuk ke dewan walaupun mendakwa mempunyai pas.

Mereka juga tidak berpuas hati kerana mendakwa kumpulan ‘pemerhati’, dipercayai berusia bawah 20 tahun, dibenarkan masuk walaupun tidak memiliki pas.

Keadaan yang awalnya tenang, bertukar kecoh dengan insiden tolak menolak ketika perwakilan AMK cuba merempuh masuk ke dalam dewan, sebelum beberapa individu terjatuh, termasuk seorang pengamal media.

Situasi bertambah buruk apabila pertikaman lidah dan cabar mencabar berlaku, sebelum beberapa ahli kumpulan ‘pemerhati’ yang berbaju hitam mula bertumbuk dengan kumpulan perwakilan AMK itu.

Wartawan BH yang sedang merakamkan kejadian turut terperangkap dalam pergaduhan itu dan terkena tumbukan, sebelum berjaya melepaskan diri.

Pergaduhan dan insiden bertumbuk itu berlarutan sehingga ke luar pusat persidangan kongres, dan beberapa objek termasuk batu berterbangan hingga mencederakan seorang daripada kumpulan ‘pemerhati’ yang didapati berdarah di bahagian belakang kepala.

Keadaan kembali reda sekitar jam 12.30 tengah hari apabila beberapa anggota polis menasihatkan kedua-dua kumpulan terbabit untuk bertenang.

Terdahulu, beberapa kekecohan berlaku di depan pintu masuk ke dewan persidangan Kongres AMK sejak jam 8.30 pagi, apabila lebih 200 perwakilan tidak dibenarkan masuk.

Beberapa siri rempuhan berlaku, apabila perwakilan yang tidak dibenarkan masuk tidak berpuas hati apabila mendapati dewan dipenuhi dengan pemerhati tanpa pas, yang disyaki bukan anggota PKR.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, tidak memiliki maklumat mengenai perkara itu kerana berada di dalam Kongres Wanita PKR yang berjalan lancar dan tenang, namun menegaskan mereka yang mencetuskan kekecohan akan diambil tindakan tegas, termasuk dipecat.

Leave a Reply