KKM lancar Kempen Imunisasi Polio di Wilayah Persekutuan Labuan

0

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, susulan kejadian wabak polio di Sabah, aktiviti survelan persekitaran untuk virus polio telah diperkukuh dengan memperluaskan lokasi persampelan ke-64 lokasi di seluruh negara.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil dari survelan persekitaran, virus polio telah dikesan di dalam sampel air kumbahan yang diambil di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

Perkara berkenaan turut disahkan oleh Makmal Rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia.

Walau bagaimanapun, tiada kes di kalangan penduduk WP Labuan setakat ini berdasarkan survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP) dan tiada jangkitan dilaporkan melalui saringan ke atas 41 orang kanak-kanak berumur bawah 5 tahun yang dijalankan secara rawak di WP Labuan.

“Susulan pengesanan virus polio dalam persekitaran, KKM melalui Jabatan Kesihatan WP Labuan menjalankan Kempen Imunisasi Polio bagi mencegah jangkitan di kalangan penduduk.

“Kempen ini melibatkan pemberian dua dos vaksin bivalent oral polio type 1 dan 3 (bOPV) yang diberikan secara titisan ke dalam mulut dengan mensasarkan semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh WP Labuan.

“Oleh itu, ibu bapa di WP Labuan perlu memastikan anak-anak yang berumur bawan 13 tahun menerima vaksin oral polio seperti yang dinyatakan, mengikut jadual yang dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan WP Labuan, ujar beliau.

Menurutnya vaksin polio yang diberi secara suntikan dalam bentuk vaksin lima serangkai (DTaP-PV/Hib) yang mengandungi komponen Antigen Difteria, Tetanus, Pertussis, Polio dan Haemophilus Influenza Type B perlu terus diambil mengikut jadual yang ditetapkan pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan aktiviti survelan persekitaran bagi virus polio di 64 lokasi…

Posted by KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA on Friday, 3 July 2020

“Ini bagi memastikan setiap kanak-kanak dapat dilindungi daripada jangkitan Polio secara optimum.

“Vaksin oral polio ini juga merupakan pemberian vaksin polio tambahan, bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan dan dalam masa yang sama, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah masih meneruskan Kempen Imunisasi Polio di Sabah,” kata beliau.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai Kempen Imunisasi Polio di WP Labuan, ibu bapa boleh menghubungi Bilik Gerakan Polio Jabatan Kesihatan WP Labuan di talian 087-596020 atau 087-596160.

 

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply