KJ tekad pimpin MOSTI ke arah global, mampu bersaing dengan negara maju

0

Khairy Jamaluddin hari ini memulakan tugas beliau secara rasmi sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) apabila hadir mengetik kad perakam masa di Kompleks CMOSTI di Putrajaya.

Khairy dalam ucapannya berkata beliau bertekad untuk memimpin penggubalan dasar yang lebih cekap dalam bidang sains, teknologi dan inovasi negara.

“Malaysia hanya mampu bersaing dengan negara maju yang lain sekiranya penerapan sains di negara ini disusuli dengan penghasilan teknologi baharu tempatan maka ekosistem Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara akan terus diperkukuhkan di mana STI mempunyai peranan khusus dan penting bagi mencipta kekayaan dan kesejahteraan untuk rakyat agar negara mampu mencapai status negara maju dengan lebih pantas.

“Ekosistem pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang menjurus ke arah demand-driven yang akan terus dilaksanakan  dan diperkemaskan melalui kerjasama erat antara pihak kerajaan dengan pihak industri”, ujar beliau.

Beliau akan terus memacu Kementerian dalam membawa agenda Sains dan Teknologi negara ke arah yang lebih tinggi dalam meningkatkan keberhasilan pengkomersilan teknologi ke pasaran serta akan berusaha meningkatkan produktiviti industri melalui aplikasi-aplikasi khusus dalam bidang Sains dan Teknologi.

Ketibaan Khairy  bersama Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri MOSTI disambut Ketua Setiausaha, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Timbalan Ketua Setiausaha, Dr. Mohd. Nor Azman Hassan bersama lebih 100 orang warga kerja Kementerian.

Khairy pada sebelah pagi menghadiri mesyuarat kabinet pertama bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,  dan barisan jemaah Menteri yang baru dilantik semalam manakala petang semalam Khairy bersama Ahmad Amzad telah hadir ke Bilik Gerakan untuk mendengar taklimat ringkas mengenai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply