KJ perbetul fakta Bossku tentang vaksin

0

Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin membetulkan fakta berkenaan program vaksinasi yang dikongsi oleh Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak di laman sosial Facebook rasmi milik beliau.

Khairy berkata, lebih 90 peratus kumpulan penerima vaksin Fasa 1 adalah terdiri daripada petugas barisan hadapan seperti kakitangan kesihatan, polis dan tentera.

“Justeru, pemberian vaksin kepada golongan ini perlu diberikan secara berperingkat bagi memastikan tugasan hakiki kumpulan ini tidak terganggu.

“Jangkaan sehingga 160,000 dos vaksinasi sehari adalah untuk Fasa 2 dan 3 apabila lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin dan jumlah vaksinator ditambah dalam fasa ini,” tulis Khairy respon kepada hantaran bekas Perdana Menteri terbabit.

Beliau juga menyatakan perbandingan di antara Singapura yang dinyatakan Najib Razak adalah tidak adil apabila tidak mengambil kira jumlah hari program vaksinasi yang telah berlangsung oleh kedua-dua negara.

“Sehingga 1 Mac, jumlah dos vaksin yang telah diberikan di Singapura adalah sebanyak 525,039.

“Singapura telah memulakan program vaksinasi mereka pada 8 Januari. Secara purata, untuk tempoh 53 hari daripada hari pertama sehingga 1 Mac, jumlah dos yang diberikan di Singapura adalah sebanyak 9,906 sehari.

“Manakala untuk Malaysia, sehingga semalam, sejumlah 166,363 dos sudah diberikan. Ini menjadikan purata dos diberikan sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula pada 24 Februari lalu (13 hari sehingga semalam – bukanlah 3 minggu seperti yang Dato’ Sri tulis) adalah sebanyak 12,797 dos sehari.

“Jadi perbandingan yang dibuat Dato’ Seri adalah tidak adil Jika mengambil kira jumlah hari, ternyata purata harian vaksinasi di Malaysia adalah lebih tinggi daripada Singapura,” ujar beliau.

Malah katanya kerajaan tidak pernah melakukan ‘u-turn’ apabila pengumuman penglibatan pihak swasta dibuat semalam.

“Daripada awal lagi, PICK telah merancang untuk melibatkan perkhidmatan kesihatan swasta. Ini turut dinyatakan dalam buku panduan PICK. Mungkin Dato’ Seri belum membaca sampai habis buku panduan ini.

“Saya juga telah menyatakan perkara ini berulangkali sama ada menerusi program penerangan, siaran akhbar mahupun ketika sidang media. Dato’ Seri boleh Google jika Dato’ Seri ada terlepas pandang,” tambahnya.

Menulis lanjut, beliau berkata kerajaan juga tidak pernah menghalang sekiranya ada pihak swasta hendak mendapatkan bekalan vaksin daripada mana-mana pengeluar. Walau bagaimanapun, buat masa ini, kebanyakan pengeluar vaksin hanya mengadakan rundingan bersama pihak kerajaan.

“Saya juga ingin menyatakan, apa-apa jenis vaksin yang hendak digunakan di Malaysia perlu mendapat kelulusan NPRA.

“Saya difahamkan, sehingga kini tiada permohonan telah diterima oleh NPRA daripada pihak swasta untuk mendaftarkan apa-apa jenis vaksin,” katanya.

Berhubung pemberian vaksin secara pandu lalu, kata beliau Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) ketika ini sedang mempertimbangkan kertas kerja pelaksanaan vaksinasi secara pandu lalu itu.

“Kertas kerja ini telah dibentangkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM). Jadi jangan khuatir, perancangan ini sememangnya telah ada.

“Cumanya ia perlu diberi perincian tertamanya dalam soal logistik dan kesan AEFI memandangkan setiap vaksin COVID-19 mempunyai protokol pengendalian yang berbeza-beza,” kongsinya.

Mengakhiri maklum balas berkenaan beliau berharap jawapan yang diberikan dapat membantu menambah pemahaman Ahli Parlimen Pekan itu tentang pelaksanaan PICK.

Malah katanya,  taklimat khas berkenaan PICK akan diberikan kepada Ahli Parlimen dan berharap Najib Razak dapat hadir pada sesi taklimat berkenaan.

Terdahulu, Najib Razak telah berkongsi hantaran di laman Facebook Najib Razak menyatakan kadar pemberian suntikan vaksin sehari berada jauh di bawah sasaran kerajaan.

“Setelah program vaksinasi negara bermula 3 minggu dahulu, sebanyak 139,720 orang telah diberi dos pertama vaksin – atau 0.43% daripada penduduk Malaysia.

Kadar pemberian vaksin pada ketika ini adalah 16,353 suntikan sehari.

Ini adalah jauh di bawah sasaran kerajaan sebanyak 150,000 suntikan sehari.

Sebagai perbandingan, 596,000 orang di Singapura (10.5% penduduk) telah diberi vaksin manakala 4,256,457 orang di Indonesia telah diberi vaksin dengan kadar 223,756 suntikan sehari.

Setakat ini, 28% penduduk negara USA dan 35.2% penduduk UK telah diberi dos pertama.

Jika Malaysia mampu mencapai sasaran 150,000 suntikan sehari pun, negara hanya akan mencapai 27.3 juta atau 80% penduduk Malaysia diberi vaksin pada bulan Mac tahun depan untuk mencapai imuniti kelompok.

(150k X 365 hari = 54.7 juta dos bahagi dua = 27.3 juta penduduk)

Itupun sebelum mengambil kira pekerja asing yang juga perlu diberi vaksin.

Kadar vaksinasi negara perlu dipercepatkan lagi sebab saya rasa ramai rakyat Malaysia tak sanggup tunggu sehingga Mac 2022 untuk negara mencapai imuniti kelompok dan bebas Covid.

U-turn dibuat kerajaan PN semalam untuk melibatkan klinik dan hospital swasta untuk membantu dalam proses vaksinasi adalah langkah yang tepat.

Namun, ini belum cukup sebab kerajaan masih tidak ingin memberi kelulusan kepada pihak swasta untuk mencari dan membeli vaksin melalui saluran mereka.

Saya tetap percaya bahawa bekalan vaksin dunia akan melebihi permintaan tidak lama lagi atas beberapa faktor yang saya sudah hurai beberapa kali sebelum ini.

Sebab itu, pihak swasta perlu dibenarkan untuk mencari dan membeli bekalan vaksin sendiri seperti di beberapa negara lain termasuk Indonesia.

Kerajaan tak rugi apa-apa pun selagi vaksin yang dicari pihak swasta diluluskan kerajaan dan WHO.

(Takkan kita nak ragu dengan pihak hospital dan klinik swasta sebab mereka dah lama memberi suntikan vaksin-vaksin lain kepada bayi-bayi?)

Kerajaan beli bekalan vaksin sendiri seperti dibuat selama ini manakala pihak swasta juga cuba membeli bekalan sendiri.

Jika pihak swasta tak berjaya membeli bekalan vaksin yang diluluskan, kerajaan tak rugi apa-apa.

Jika mereka berjaya maka proses vaksinasi negara mampu dipercepatkan dan beban ke atas pusat vaksinasi kerajaan dapat dikurangkan.

Selain itu, kerajaan boleh pertimbangkan jika proses memberi vaksin melalui cara drive-thru seperti dibuat di USA dan Indonesia adalah sesuai bagi negara kita,” kongsi beliau.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply