KITA PRIHATIN : Kerajaan Perak pastikan bantuan sampai kepada golongan sasar

0

Kerajaan Negeri Perak akan memberi kerjasama penuh bagi memastikan semua bantuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri akan sampai kepada golongan sasar.

“Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak menyambut baik menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN atau KITA PRIHATIN.

“Kerajaan Negeri Perak juga amat mengalu-alukan Program Subsidi Upah 2.0 yang akan membantu meringankan beban para majikan yang terkesan untuk terus mengekalkan para pekerja.

“Pakej KITA PRIHATIN ini sekaligus membuktikan pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah YAB Tan Sri Muhyiddin benar-benar berpegang kepada janji untuk menjadi sebuah kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat,” ujar beliau.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata demikian dalam satu kenyataan media rasmi, menzahirkan penghargaan terhadap pelaksanaan beberapa inisiatif dan bantuan tambahan khusus yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Menurut beliau, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 dengan peruntukan sebanyak RM7 bilion pastinya akan memberi nafas lega kepada 10.6 juta penerima dari golongan sasar.

“Jelas sekali, bantuan ini dirangka setelah mengambil kira kesukaran yang dilalui oleh rakyat dan masyarakat perniagaan yang masih bergelut untuk terus kekal berdaya saing akibat impak besar pandemik COVID-19 terhadap semua sektor ekonomi.

“Dalam menempuhi tempoh yang amat mencabar ini, rakyat memerlukan kepimpinan kerajaan yang sentiasa peka dengan hitung nasib mereka demi untuk menyara keluarga dan meneruskan kehidupan.

“Rakyat sama sekali tidak mahu tumpuan kerajaan teralih kepada permainan dan percaturan politik pihak-pihak tertentu yang hanya merugikan negara dan rakyat,” kata beliau.

Mengambil kata kata pepatah, seikat lebih teguh dari sebatang, segemal lebih hasil dari setangkai, beliau menyatakan ini adalah masanya untuk kerajaan berganding bahu, bersatu iltizam dengan rakyat bagi menyelamatkan ekonomi negara dan memastikan kebajikan rakyat terus terbela.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply