Kisah Tengku Permaisuri Selangor diabadi dalam buku

0

Kisah permulaan hidup Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Tengku Permaisuri Selangor diabadikan menerusi garapan penulisan yang cukup indah dalam sebuah buku bertajuk ‘My first year journey, from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor: An Anecdotal Experience’.

Buku setebal 133 muka surat itu adalah nukilan kakak baginda sendiri, Datin Dr Norely Abdul Rahman.

Ia kini dijual pada harga RM160 senaskhah dengan sebahagian hasil daripada pembelian itu akan disalurkan kepada kempen ‘Stray Free Selangor’ bagi membantu haiwan jalanan.

Tengku Permaisuri Norashikin adalah Penaung Diraja bagi kempen berkenaan yang dianjurkan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor sejak 2017.

Buku berbahasa Inggeris itu dilancarkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan buku berbahasa Inggeris ini dalam satu majlis di Pustaka Raja Tun Uda, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah bahawa penerbitan buku terbabit adalah bagi berkongsi pengalaman baginda menempuh perkara baharu buat pertama kali sebagai Tengku Permaisuri Selangor, khususnya membabitkan protokol istana dan adat istiadat dalam Balairung Seri.

“Tujuan saya adalah untuk turut membawa pembaca merasai pengalaman yang saya lalui dan memperoleh pengetahuan baharu mengenai adat istiadat, bahasa istana dan susur galur sejarah Kesultanan Selangor.

“Saya berasa amat berbesar hati dan teruja dengan penerbitan buku ini walaupun pada masa sama, perasaan saya bercampur-baur dan kadangkala berbelah-bahagi. Apatah lagi, saya seorang yang tidak gemar untuk berkongsi kisah kehidupan dan peribadi sejak dahulu,” titah baginda.

Yang turut berangkat ke majlis itu adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan kerabat diraja Selangor.

Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

 

Leave a Reply