Kisah anak gelandangan, Muhammad, Khaled dan Sulaiman

0

Tidak seperti mereka yang sebaya di tempat lain yang leka di alam fantasi, tiga beradik, Muhammad, Khaled dan Sulaiman, tidak sempat mengecapi itu semua.

Ketiga-tiga mereka lahir ketika negara itu telahpun bergolak dan terlalu mentah ketika ditinggalkan ibu kandung selepas setahun si ayah ditahan tentera rejim Bashar al Assad.

Hanya nenek yang menjadi tempat bergantung. Itupun tidak lama kerana kemudiannya insan yang sanggup menjadi penjaganya pula, meninggal dunia.

Tinggalah mereka, terkontang-kanting, mengemis ke sana ke mari untuk terus hidup. Lapar dan kenyang bergantung dengan ihsan orang ramai.

Bukan seminggu dua, tidak juga berbulan tetapi tiga tahun tiga beradik ini menjadi gelandangan sehinggalah takdir mempertemukan mereka dengan Ummu Umar, seorang ibu tunggal.

Wanita mengambil dan menjaga mereka di Dar as Sakinah, sebuah rumah anak yatim yang dikendalikan Syria Care melalui The Orphans Project by Syria Care.

Bersama mereka yang senasib , Muhammad, Khaled dan Sulaiman telah telah ditaja rakyat Malaysia.

Pertama kali saya bertemu tiga beradik ini ialah ketika menyertai Misi Khas Kemanusiaan Syria Care pada awal Mac lalu.

Ketika itu begitu meriah, 12 orang menyambut kedatangan saya serta Penyelaras Projek dan Media Syria Care, Shadi al Uwainah di tingkat atas rumah kedai di pekan Zarzour.

Ole-ole yang kami beli di Idlib, begitu bererti bagi mereka. Macam-macam ada kereta, jentolak dan sudah tentu anak patung. Kegembiraan terpancar dan ketika itu, bahasa bukan lagi dinding pemisah untuk kami berinteraksi.

Semua mereka terpaksa dipindahkan ke Zarzour buat sementara kerana bangunan yang menempatkan anak-anak yatim ini, di pinggir Sungai A’asi di Jisr Shughour begitu berisiko untuk dihuni kerana menjadi sasaran serangan tentera rejim Bashar al Assad.

Ketika ini, anak-anak yatim berkenaan telahpun kembali ke bangunan berkenaan.

Namun jumlahnya tidak lagi sama, hanya tinggal sembilan anak-anak yatim yang diuruskan Ummu Umar, dua beradik yang sebelum itu berada di bawah jagaannya, telah diambil semula ibunya.

Seorang lagi meninggalkan rumah berkenaan dan kembali ke dunia gelandangan. Ini sebahagian kisah anak-anak Syria yang menjadi mangsa keadaan.

Sekiranya penyelesaian konflik berlaku, ia bukan usaha mudah untuk menggembalikan semula kestabilan dan keamanan di sana.

Menurut Tabung Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa- Bangsa Bersatu (Unicef) enam juta kanak-kanak Syria dilahirkan sejak krisis bermula sembilan tahun lepas.

Secara purata seorang kanak-kanak terbunuh pada setiap 10 jam kerana keganasan manakala 2.5 juta lagi terpaksa melarikan diri ke negara berhampiran untuk mencari perlindungan.

Inilah Syria…kisah rakyat yang dizalimi pemimpin sendiri.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply