Khairuddin Abu Hassan terima pingat Panglima Jasa Negara

0
Foto: FB Datuk Khairuddin Abu Hassan, PJN

PUTRAJAYA, 19 Nov — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2019 kepada 251 individu pada istiadat yang berlangsung di Istana Melawati di sini.

Memetik Bernama mendahului senarai penerima ialah bekas Menteri Buruh Thailand, Jeneral Polis Adul Sangsingkeo.

Sangsingkeo dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) Kehormat yang membawa gelaran Tan Sri.

Turut berangkat pada istiadat berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Lima individu pula dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Pengerusi Commodities Global Trade Sdn Bhd, Datuk Khairuddin Abu Hassan, yang juga suami kepada aktres Umie Aida; mantan Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Madya (B) Datuk Rusli Ramli dan Ketua Pengarah Penjara Datuk Zulkifli Omar.

Dua lagi penerima PJN ialah mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Leftenan Jeneral (B) Datuk Dr Ya’akop Koming dan Pengerusi dan Pengarah Urusan SMH Rail Sdn Bhd Datuk Narayanan Kuppusamy.

Tiga individu dikurniakan Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Pengelola Istana Diraja Kelantan/Setiausaha Sulit Kanan Sultan Muhammad V Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dan Ketua Istiadat Istana Kelantan Mejar Jeneral Datuk Mamat Ariffin Abdullah.

Enam individu menerima Darjah Johan Mangku Negara, sembilan individu menerima Darjah Johan Setia Mahkota dan 46 individu menerima Darjah Kesatria Mangku Negara (KMN) termasuk Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali.

Sebanyak 80 individu menerima Darjah Ahli Mangku Negara manakala 101 individu penerima pingat Pangkuan Negara.

 

Leave a Reply