Ketahui bahan bahaya dalam pil kurus

0

Mahu kurus dengan jalan yang mudah?
Lupakan sahaja…
Amat mustahil memiliki bentuk badan idaman dengan cara pantas tanpa perlu mengawal pemakanan mahupun bersenam.

Namun, dengan lambakan produk kurus ‘overclaimed’ dengan menjanjikan hasil segera seperti yang diinginkan ramai nyata mampu mempengaruhi masyarakat membeli produk yang dijual tanpa berfikir panjang kesan sampingan terhadap kesihatan diri.

Kami kongsi info kesihatan melalui perkongsian dari laman kesihatan rasmi kerajaan, www.myhealth.gov.my tentang kandungan bahan terlarang yang lazimnya terdapat dalam produk kurus terutama produk yang telah disenaraihitamkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Anda pernah dengar Amphetamine???
Jom baca apakah itu Amphetamine dan kesan sampingannya.

We Care, We Share!

Apa Itu Amphetamine?
Amphetamine merupakan dadah dalam kumpulan perangsang.

Dalam rawatan klinikal, Amphetamine digunakan untuk merawat penyakit Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan narcolepsy (penyakit otak kronik yang melibatkan gangguan pada kitaran tidur-jaga).

Namun begitu, Amphetamine dan terbitannya sering disalah guna.

Amphetamine dan terbitannya turut dikenali sebagai speed, ice, ecstasy dan syabu di jalanan.

Padah masa kini, produk yang mengandungi Amphetamine ini belum lagi berdaftar di Malaysia.

Bagaimana Amphetamine Bertindak Dalam Badan?

Amphetamine bertindak untuk merangsang sistem saraf tunjang manusia (saraf dan otak) dengan meningkatkan kandungan kimia seperti norepinephrine, dopaminedan noradrenaline dalam badan.

Kuantiti Amphetamine yang diambil akan memberi kesan yang berbeza kepada setiap individu .

Kesannya bergantung kepada saiz, berat dan tahap kesihatan serta sejarah pengambilan Amphetamine oleh individu berkaitan.

Kesan Pengambilan Amphetamine

Dos rendah atau sederhana :

* Menimbulkan rasa ghairah, seronok dan sihat
* Meningkatkan tahap keyakinan dan motivasi
* Rasa mempunyai kuasa berbanding orang lain
* Bercakap banyak
* Resah, gelisah dan panik
* Halusinasi
* Cepat marah dan agresif

Dos tinggi:

* Penglihatan kabur
* Pernafasan tidak teratur
* Hilang koordinasi badan
* Pengsan
* Menambahkan kadar degupan jantung
* Berkelakuan ganas dan agresif
* Halusinasi
* Sawan
* Angin ahmar/strok
* Koma

Apabila kesan Amphetamine mula hilang, seseorang boleh mengalami pelbagai implikasi.

Implikasi-implikasi tersebut boleh bertahan untuk beberapa hari termasuk:

* Perasaan resah, marah dan cemas
* Menjadi agresif sehingga boleh bertindak ganas
* Perubahan kelakuan yang radikal

Kesan Ketagihan Amphetamine

Antara kesan jangka masa panjang pengambilan Amphetamine ialah pesakit akan terdedah kepada tekanan darah tinggi dan mengalami degupan jantung tidak teratur.

Tekanan kepada jantung boleh meningkatkan risiko komplikasi penyakit jantung seperti angin ahmar/strok.

Selain daripada itu, ianya juga meningkatkan risiko kerosakan sel otak, malnutrisi, kekurangan daya imuniti badan dan sebagainya.

Pengambilan Amphetamine untuk jangka masa yang panjang juga boleh menyebabkan ketagihan dan toleransi.

Toleransi kepada Amphetamine bermaksud dos yang lebih tinggi diperlukan bagi mendapatkan kesan yang sama.

Ketagihan kepada Amphetamine meliputi aspek psikologi, fizikal atau kedua-duanya.

Seseorang yang mengalami ketagihan psikologi sering merasakan mereka perlu mengambil Amphetamine apabila sedang bersosial.

Manakala ketagihan fizikal pula berlaku apabila badan seseorang hanya boleh berfungsi dengan kehadiran Amphetamine.

Apabila seseorang individu mula mengalami masalah ketagihan kepada Amphetamine, ianya agak sukar untuk diberhentikan.

Kesan yang dialami individu yang berhenti apabila berhenti mengambil Amphetamine (withdrawal) bermula 2 hingga 3 hari selepas kali terakhir Amphetamine diambil dan kesannya akan berkurangan selepas seminggu hingga 10 hari.

Antara kesan yang akan dialami oleh pengguna adalah :

* Kelaparan
* Perasaan resah, marah
* Kemurungan
* Kepenatan melampau
* Panik

Penyalahgunaan Amphetamine

Terdapat pelbagai sebab yang mendorong penyalahgunaan Amphetamine.

Terdapat golongan yang menggunakan Amphetamine untuk meningkatkan prestasi sukan atau kerja dan keyakinan diri.

Walau bagaimanapun, ubat ini sering disalahgunakan untuk merasa ghairah dan seronok.

Berdasarkan laporan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), jumlah penagih Amphetamine dan terbitannya adalah tertinggi selepas heroin, morfin dan ganja.

Setiap tahun terdapat peningkatan jumlah rampasan pil Amphetamine dan terbitannya.

Pada tahun 2012 mencatatkan rampasan sebanyak 11,321,142 biji pil Amphetamine dan terbitannya dengan anggaran nilai pasaran berjumlah
RM 195,286,299.

Bagi kesan pengambilan jangka masa panjang Amphetamine dan terbitannya pula boleh menurunkan berat badan dengan cepat melalui kurang selera makan.

Walau bagaimanapun, penggunaannya mengakibatkan risiko yang tinggi sehingga boleh menyebabkan kematian.

Pengguna dinasihatkan agar berwaspada dengan produk pelangsingan bada yang berada dalam pasaran.

Terdapat sebilangan produk pelangsingan yang telah dicemari dengan dadah bagi mendapatkan kesan penurunan berat badan yang ketara.

Penggunaan produk pelangsingan yang telah dicemar palsu boleh menyebabkan kesan-kesan seperti dinyatakan seperti di atas terutamanya angin ahmar atau strok.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply