Kestabilan Politik Pacu Indonesia Maju, Bakal Menjadi Kuasa Baharu ASEAN Memintas Malaysia? – Saiful Bukhari Azlan

0
Presiden Jokowi angkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia untuk penggal kedua semalam

Oleh Saiful Bukhari Azlan

Pilihanraya Indonesia telah selesai beberapa bulan lalu. Semalam Jokowi di tabal Presiden Republik Indonesia untuk penggal kedua.

Walau suasana politik agak tegang semasa pilihanraya Indonesia, namun baru-baru ini, Presiden Jokowi dan lawannya General Probowo dapat duduk semeja, ketepikan perbezaan politik, berbincang untuk kembalikan kestabilan politik, demi kepentingan ekonomi, rakyat dan negara.

Di sini, jelas kelihatan kematangan politik politikus Indonesia. Ini berbeza dengan politikus di Malaysia. Pilihanraya Umum Malaysia sudah pun berlalu 17 bulan yang lalu, namun keadaan politik masih tidak stabil.

Pertemuan Jokowi – Probowo

Pembangkang negara kita kini aktif menyerang Kerajaan. Namun, itu adalah tugas dan lumrah mana-mana pembangkang di dunia. Tapi serangan pembangkang kita tidaklah sehingga menjejaskan kestabilan politik.

Hakikatnya, punca ketidakstabilan politik itu datangnya lebih dari kalangan parti komponen Pakatan Harapan itu sendiri.

Antara masalah utama di kalangan komponen PH adalah mereka kurang pengalaman mentadbir, mengharapkan pengalaman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir semata-mata. Tiada “chemistry” dan “trust” antara mereka. Terlalu banyak politiking dari berkhidmat kepada rakyat.

Tambah malang, di kalangan pemimpin parti komponen PH saling menghentam dasar kerajaan mereka sendiri, menghentam agensi dan jentera kerajaan, serta menghentam keputusan PM, kabinet mereka sendiri. Ada juga yang menghentam dan tidak menghormati Perlembangan Persekutuan, juga tidak menghayati Prinsip Rukun Negara.

Isu tarikh peralihan kuasa antara Mahathir-Anwar adalah kemuncak kepada ketidakstabilan politik di Malaysia. Sehingga hari ini, walau sudah beratus kali PM Tun Dr Mahathir beri jaminan akan serah pada Anwar, namun mereka seolah tidak mempercayai jaminan itu.

Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim

Desakan demi desakan terus di lakukan terutama dari parti PKR untuk PM umum tarikh peralihan. Gerakan kumpulan Pro-Anwar mengumpul Ahli Parlimen PH dan juga dari kalangan MP pembangkang untuk mengangkat Anwar sebagai PM secara “paksaan” juga bukan lagi rahsia.

Pada hujung September 2018, saya memberanikan diri bertanding atas tiket BEBAS di PRK Port Dickson, mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun usaha saya tidak berjaya menyekat kemaraan awal beliau di Parlimen.

Pada waktu itu saya amat tidak bersetuju kerana ramai penganalisis dan pakar berpendapat akan berlaku pergelutan kuasa, “political uncertainty” di Malaysia jika Anwar di angkat menjadi Ahli Parlimen terlalu awal. Falsafah Cina juga ada mengatakan bahawa “One Mountain Cannot Contain Two Tigers” . Ternyata, ramalan, analisis itu benar dan sedang berlaku kini.

Saiful Bukhari Azlan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa hari penamaan calon PRK Port Dickson, September 2018

Berbalik kepada soal perebutan kuasa. Newton’s Third Law dalam ilmu Fizik ada menyatakan “For every action, there is an equal and opposite reaction”. Jadi, apabila timbul ada lagi satu puak membuat gerakan untuk mengumpul ahli parlimen menyokong Tun Dr Mahathir kekal sebagai PM, maka puak Pro-Anwar tidak perlu lah melatah, buat-buat terkejut. Kerana anda gelojoh, yang mulakan “action” itu terlebih dahulu. Maka perlu berlapang dada menerima the “opposite reaction”.

Justeru, sudah tiba masanya perkara ini dihentikan. Jika sudah terlanjur, dan tidak dapat undur dan dihentikan, maka pada hemat saya soal peralihan ini perlu di muktamad segera.

Sama ada melalui peralihan damai, “political configuration” baharu atau melalui “Undi Kepercayaan” kepada PM di Parlimen yang kini sedang bersidang.

Jika para politikus buntu, tidak dapat jalan penyelesaian, “political deadlock”, maka jalan terakhir dan terbaik adalah menyerahkan semula mandat kepada rakyat, iaitu dengan mengadakan Pilihanraya Umum untuk memilih Parti dan Perdana Menteri yang mereka percaya mampu untuk mentadbir negara.

Namun, mengadakan PRU memakan kos yang amat tinggi. Kos untuk SPR sahaja sudah beratus juta. Parti-parti politik juga perlukan dana yang amat besar untuk kempen pilihanraya.

Rakyat kini tanpa mengira ideologi politik mahukan kerajaan yang dapat fokus mentadbir, menyatukan rakyat, memakmurkan ekonomi negara, berkhidmat dan membela nasib mereka. Mereka kini sudah muak, mengalami “political fatigue” dengan “politiking” para politikus yang tiada kesudahan kerana sibuk berbalah berebut kuasa.

Berbalik pada Politik Indonesia, kita seharusnya berasa malu dengan kematangan politik politikus mereka. Pada hemat saya, politikus Malaysia wajar mencontohi kematangan mereka.

Usah terkejut jika beberapa tahun lagi, jika ketidakstabilan politik Malaysia ini berterusan, Indonesia akan memintas Malaysia. Tidak mustahil juga Indonesia akan bangkit menjadi kuasa baharu ASEAN, kerana Indonesia kini sudah jelas hala tuju negara dan ekonominya, kerajaan dapat fokus mentadbir, juga pemimpin mereka merentasi ideologi politik sanggup ketepikan perbezaan, duduk semeja, demi kepentingan agama, bangsa dan negara….

Saiful Bukhari Azlan adalah Pengasas dan CEO SSP Analytics yang merupakan sebuah syarikat Firma Penyelidikan, Big Data Analytics dan pembekal peralatan IT yang beroperasi di Kuala Lumpur.

Saiful Bukhari Azlan, Pengasas dan CEO SSP Analytics

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

Leave a Reply