Kes Yusoff Rawther : Jabatan Peguam Negara perlu beri penjelasan lanjut – Dr Kamarul Yusoff

0

Pensyarah Senior, Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Yusoff mahu Peguamcara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek memberi penjelasan berkenaan keputusan menutup kes serangan seksual di luar tabii ke atas pengadu Muhammed Yusoff Rawther yang berlaku pada 2 Oktober 2018.

Terdahulu Peguamcara di Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak mendakwa Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan alasan, terdapat percanggahan fakta-fakta dan material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang serta tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan-laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan yang ada dalam kertas siasatan.

“Di atas dasar ketelusan, pastilah ramai yang mahu tahu apa yang Datuk Engku Nor Faizah maksudkan bila beliau berkata “terdapat percanggahan fakta-fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang.

“Begitu juga dengan kenyataan Datuk Engku Nor Faizah bahawa “tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan-laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan yang ada dalam kertas siasatan.

“Ini kerana, berdasarkan kepada laporan media, Muhammed Yusoff Rawther telah beberapa kali dipanggil memberikan keterangan di samping membuat ujian poligraf yang menunjukkan kesungguhan beliau bekerjasama dengan pihak polis,” katanya.

Menurut Dr Kamarul, ketelusan dalam membuat pertimbangan secara serius dan keputusan seadilnya amat penting apabila ia melibatkan seseorang yang dijadualkan akan menjadi Perdana Menteri.

“Disebabkan insan yang didakwa adalah seorang yang dijadualkan akan menjadi Perdana Menteri maka sudah pastilah dakwaan begini perlu dipandang sangat serius kerana ia adalah sesuatu yang melibatkan masa depan rakyat dan negara.

“Jika seorang pemimpin yang mempunyai masalah moral menjadi Perdana Menteri maka ini akan memungkinkan kepentingan dan keselamatan negara boleh tergugat kerana pemimpin begini akan terdedah kepada perkara seperti peras ugut.

“Sebab itulah banyak pihak yang mahukan kes ini dibawa ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak menyatakan hujah mereka selaras dengan prinsip pemimpin perlu dilihat sebagai bersih,” tambahnya.

Beliau berpendapat, Jabatan Peguam Negara tidak sepatutnya merasa bimbang dengan kemungkinan mereka akan kalah jika kes ini dibawa ke mahkamah kerana kepentingan dan keselamatan negara adalah jauh lebih penting daripada reputasi badan bebas berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Kamarul berkata beliau memahami perasaan Muhammed Yusoff Rawther apabila mengetahui keputusan kesnya itu dan tidak seharusnya terlalu kecewa kerana Datuk Engku Nor Faizah telah memberi jaminan bahawa penyiasatan akan dibuka semula sekiranya terdapat keterangan baru.

Jumaat lalu Yusoff Rawther dalam temubual eksklusif The Malaya Post berkata secara moral, etika dan kerohanian, Dato’ Seri Anwar tidak layak diangkat sebagai Perdana Menteri. — THE MALAYA POST

*SubcribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply