Kes tertembak rakan : Tiga anggota polis direman

0

Susulan kes anggota polis di temui mati dengan kesan tembakan di kepala di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9A di Sibu, Sarawak semalam.

Mahkamah Majistret hari ini membenarkan permohonan reman selama tujuh hari ke atas tiga lelaki yang juga merupakan rakan mangsa untuk membantu siasatan.

Lapor media, Pesuruhjaya Polis Negeri Sarawak, Datuk Aidi Ismail yang mengesahkan perkara itu berkata kesemua suspek yang berusia lingkungan 21 ke 27 tahun itu berasal dari Semenanjung Malaysia.

“Perintah reman dikeluarkan mulai hari ini bagi membantu pihak polis untuk menyiasat kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mangsa, anggota polis berpangkat konstabel, Norhalim Tumiran, 25, yang berasal dari Pahang dilaporkan mati setelah disyaki terkena tembakan di sebelah kanan kepala dalam kejadian sekitar pukul 7.20 malam semalam.

Ketika kejadian, salah seorang suspek difahamkan sedang bergurau dengan mengacukan pistol sebelum tertekan picu dan melepaskan tembakan ke arah mangsa yang sedang bermain permainan video di ruang tamu rumah.

Tambah ACP Aidi, setakat ini pihak patologi dari Kuching akan dihantar ke Sibu untuk melakukan bedah siasat esok sebelum jenazah dibenarkan untuk dibawa pulang ke Pahang.

Mangsa adalah anggota polis yang baru sahaja dipindahkan ke Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di sini sebulan setengah yang lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia satu tahun. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

Leave a Reply