Kes baharu Covid-19 bawah 8000, kes kematian kekal bawah 100

0

Sebanyak 7,420 kes baharu Covid-19, direkodkan hari ini.

Angka itu menurun sedikit berbanding 8,084 jangkitan baharu dilaporkan, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu perkongsian di Twitter, berkata jumlah keseluruhan kes COVID-19 kini mencecah 2,377,033 jangkitan.

Maklumat terperinci dimuat naik ke laman CovidNow https://covidnow.moh.gov.my.

“Data setiap hari bagi laman CovidNow adalah dikemas kini sekali gus selepas tengah malam,” katanya.

Dalam pada itu angka harian kematian akibat jangkitan COVID-19 di negara ini, terus kekal bawah 100 apabila 88 kes direkodkan, semalam.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) di portal COVIDNOW menunjukkan daripada jumlah itu, 22 kes membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Setakat semalam, jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 mencecah 27,681 atau kira-kira 1.2 peratus daripada keseluruhan 2,369,613 kes positif di Malaysia.

Jumlah keseluruhan kes BID pula meningkat kepada 5,590, iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan korban akibat COVID-19.

Sementara itu, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke unit rawatan rapi (ICU) terus mencatat penurunan sejak awal September lalu.

Terdapat 702 kes aktif di ICU seluruh negara ketika ini, berbanding lebih 1,500 pada hujung Ogos lalu.

Ketika ini, kadar penggunaan ICU di hospital kerajaan seluruh negara ialah 61.6 peratus, namun tiga negeri dan Wilayah Persekutuan masih merekodkan kadar melebihi 70 peratus, iaitu Pulau Pinang (77.5 peratus), Sarawak (76.6 peratus) dan Kuala Lumpur (72.1 peratus).

Jumlah pesakit COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan turut mencatat penurunan sejak dua bulan lalu, dengan mencatat 367 kes setakat semalam berbanding lebih 900 kes pada awal Ogos lalu.

Pada masa sama, kadar penggunaan katil hospital bagi kes COVID-19 di seluruh negara ialah 70.4 peratus, dengan tiga negeri merekodkan kadar lebih 80 peratus.

Ia meliputi Kelantan (81.1 peratus), Terengganu (80.6 peratus) dan Melaka (80.1 peratus).–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply