Kerteh FC-IKS jalin kerjasama, jual beras sebagai produk terbaharu kelab

0

Kelab Bola Sepak Kerteh bersama Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd hari ini melancarkan beras Premium Super Import Cap Buah-Buahan sebagai salah satu produk terbaharu kelab.

Siang tadi berlangsung .ajlis pelancaran ringkas yang diadakan di ibu pejabat syarikat kelab, KAL Services Sdn Bhd, Kerteh.

Dalam majlis ringkas ini, wakil kedua-dua belah pihak telah menzahirkan rasa gembira dengan termeterainya kerjasama ini setelah perbincangan awal dilakukan sejak Oktober tahun lalu.

Lebih membanggakan logo, warna rasmi dan elemen-elemen kelab bukan sahaja berada pada plastik bungkusan beras tetapi ia juga akan turut diletakkan pada kenderaan pengangkutan seperti lori tangki dan kargo syarikat tersebut bagi tujuan iklan dan komersial.

Manakala logo beras Cap Buah-Buahan pula akan diletakkan pada lengan jersi utama Kerteh FC.

“Pihak kami merasa yakin dengan kekuatan jenama Kerteh FC yang merupakan sebuah kelab yang sedang membangun serta mempunyai nilai komersial tambahan di pasaran. Apatah lagi ia adalah antara pasukan bola sepak komuniti yang sedang mencipta nama ketika ini”, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd, Mohamad Adam Suffian Yacob pada majlis tersebut.

Beliau menambah, sebelum ini pasaran beras cap buah-buahan ini hanyalah tertumpu di daerah Setiu, Besut, Bachok dan Pasir Putih sahaja.

“Jadi, dengan kerjasama bersama Kerteh FC
ini, ianya dapat menambahkan lagi keyakinan kami bahawa kerjasama ini akan membawa jenama beras kami ke pasaran yang lebih luas capaiannya selepas ini” katanya kepada The Malaya Post.

Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim pula berkata, memanfaatkan pemasaran melalui medium sukan bola sepak kini telah menjadi satu trend baharu kepada Industri Kecil dan Serdahana (IKS) di dalam negara.

“Kami percaya hubungan keusahawanan dan perniagaan dalam industri sukan dapat membuka jalan yang lebih luas kepada mana-mana IKS dalam mengembangkan perniagaan mereka.

“Harapan kami, kerjasama bersama syarikat Yacob Tahir Enterprise ini akan dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan. Ini kerana syarikat ini bukan sahaja hanya mengeluarkan beras tetapi ada juga beberapa produk barangan asas yang lain seperti minyak masak, telur, garam dan lain-lain lagi”, katanya penuh harapan.

Kerteh FC pula merupakan sebuah kelab bola sepak komuniti yang beraksi dalam Liga M4 Malaysia. Ditubuhkan pada 2018, Kerteh FC telah memenangi gelaran berganda Liga Amatur Terengganu (TAL) dalam penampilan sulung pada tahun 2019.

Kelab yang diberi gelaran “The Oilers” ini berpusat di Kerteh, Kemaman, Terengganu.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply