Kerjaya pasca-COVID-19 perlu miliki pelbagai pengkhususan dan kepakaran – Muhyiddin Yassin

0

Rakyat Malaysia tidak lagi boleh melihat pekerjaan masa depan dalam konteks kepakaran tunggal, sebaliknya perlu memiliki pelbagai pengkhususan dalam beberapa bidang selaras persekitaran pekerjaan pasca COVID-19.

Menurut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peralihan itu ekoran perubahan norma hidup kesan daripada wabak COVID-19 yang menukar corak kerja.

“Pengkhususan atau kepakaran dalam pelbagai bidang pada ketika ini harus menjadi keutamaan dalam mendepani persekitaran kerja pasca-pandemik tersebut tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Persidangan Minda Malaysia 2021: Merapatkan Jurang Kemahiran dengan tema Belia Berkemahiran Pemangkin Pemulihan Negara secara maya pada Sabtu.

Program julung kali itu dianjurkan oleh Yayasan MyProdigy Malaysia, Thriving Talents dan Kita Anak Malaysia dengan tiga sesi melibatkan 32 ahli panel selain disertai lebih 1,000 peserta.

Bekas Perdana Menteri ke-8 berkata, impak penularan COVID-19 sejak awal tahun lalu telah menggantikan hidup manusia di seluruh dunia mengadaptasi suasana baharu.

Apatah lagi lepasan sekolah, graduan universiti dan belia muda yang akan memasuki pasaran buruh ketika pandemik berjaya diurus hasil Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Justeru,  generasi muda diseru melihat wabak COVID-19 dari sudut positif untuk mencabar diri menjadi insan lebih baik

“Norma sudah menjadi lazim, mesti memakai pelitup di luar, ada jarak fizikal waima kerja dari rumah adalah rutin dan hal ini membentuk transisi Revolusi Industri (IR) 4.0,” jelas Tan Sri Muhyiddin.

Tambah beliau transformasi tidak dijangka itu, memberi kesan besar landskap pasaran tenaga kerja seluruh dunia termasuk Malaysia apabila kurang permintaan terhadap kerja berintensif buruh.

Perubahan itu bukan sahaja mengecilkan peluang kerjaya, bahkan jika tidak diurus dengan baik, negara berdepan cabaran menawarkan kuantiti dan kualiti kepada graduan prospektif.

Ini katanya, selari dengan laporan Forum Ekonomi Dunia bertemakan Kerja Hari Esok pada tahun lalu yang mengunjurkan trend permintaan kerja kelak lebih kepada kemahiran baharu.

“Justeru, anak muda hari ini perlu memperlengkapkan diri dengan kepelbagaian kemahiran tambah nilai lain bagi diseimbangkan kepada bidang konvensional sedia ada.

“Contohnya, jika seseorang itu mahir dalam pemasaran, kewangan, jualan atau kejuruteraan, ia perlu diseimbangkan dengan pelbagai kemahiran lain yang memiliki nilai tambah,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin malah optimis, kemahiran data, kecerdasan buatan atau pengkomputeran awan, mampu membantu bakal graduan mencipta banyak peluang kerja tanpa ada lagi sempadan.

Pada masa sama, beliau menyarankan komuniti remaja menyiapkan diri sendiri dengan ilmu digital agar mereka dapat bersedia lebih awal bagi memenuhi permintaan kerja di pasaran.

“Kemahiran dalam perkomputeran data, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan produk serta perkomputeran awan yang boleh membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang hampir tiada sempadan.

“Seorang jurutera, pensyarah atau pegawai kerajaan perlu juga memiliki pengetahuan dalam pemasaran, jualan, teknologi maklumat, pembangunan produk dan perkomputeran,” katanya.

Tidak ketinggalan jelas beliau, kemahiran kendiri lain termasuk intrapersonal, interpersonal, kecerdasan emosi, pemikiran analitik, kreatif, kritikal dan daya inovasi yang memang wajib.

“Krisis kesihatan global menuntut banyak perubahan dan hikmahnya, ia menyedarkan kita kepentingan keperluan teknologi terkini untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru generasi muda melihat wabak COVID-19 dari sudut positif untuk mencabar diri menjadi insan lebih baik dan memberi manfaat kepada masyarakat.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

 

 

 

Leave a Reply