Kerjasama semakin mantap, PAS, BN, PPBM komited hadapi PRU-15

0

Parti lslam Se-Malaysia (PAS) menegaskan kerjasama politik bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semakin mantap sekaligus berjaya mengukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menjadi kerajaan hari ini.

Memetik kenyataan media, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata tanpa menghiraukan segala spekulasi pihak pembangkang yang hanya berupa perang psikologi semata-mata, PAS akan terus sama-sama komited mendukung dan mempertahankan kedudukan Kerajaan PN yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bersama barisan kabinetnya yang terdiri dari semua parti-parti anggota.

“Adalah suatu fakta yang jelas bahawa kerjasama politik antara PAS dengan BN, khususnya UMNO, telah dimuktamadkan melalui Memorandum Persefahaman pada 14 September 2019 sekaligus membentuk Muafakat Nasional (MN).

“Manakala kerjasama sehingga terbentuknya Kerajaan Persekutuan ekoran kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 29 Februari 2020, diikuti pemeteraian Memorandum Persefahaman oleh Pengerusi-Pengerusi dan Presiden Presiden BN, PPBM, PAS dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak secara rasminya telah membentuk PN,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, PAS juga yakin parti-parti yang membentuk PN telah bersedia memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama termasuk memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU 15 meskipun tarikhnya belum diputuskan.

“PAS juga amat yakin akan kerjasama dan sikap bertoleransi semua anggota PN yang mana kini akan menguatkan lagi kedudukan Kerajaan PN sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri-negeri sehingga ke akhir penggal,” jelasnya.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply