Kerajaan tidak berpeluk tubuh biar rakyat derita – PM

0

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kerajaan pimpinannya tidak sempurna tetapi tidak hanya berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita.

Sebaliknya Perdana Menteri menegaskan kerajaan sentiasa bergerak dan bertindak bagi menyelamatkan nyawa serta kehidupan rakyat.

“Apa yang penting, kita mesti bersolidariti dalam menghadapi zaman yang sukar ini. Tidak usahlah kita berbalah dan menuding jari kerana di sana, ada rakyat yang jiwanya sengsara, ada bapa yang tenggelam punca, ada anak yang menderita, manakala barisan hadapan kita terus terbeban dan hospital semakin tertekan.

“Marilah kita berganding bahu, mencari berkat dan meraih jaya pada setiap usaha sama. Bulat air kerana pembetung, bulat kita kerana muafakat. Bersatu kita pasti teguh, bercerai kita roboh,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini. - Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Tan Sri Muhyiddin kerajaan memahami keresahan dan kebimbangan rakyat apabila angka kes harian COVID-19 menunjukkan peningkatan.

Tegasnya, kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut dengan mempercepatkan program vaksinasi dan terbukti Malaysia pada hari ini adalah antara negara yang terpantas dalam memberi vaksin kepada penduduknya.

PPN adalah pelan pemulihan yang memberi tumpuan kepada strategi untuk keluar daripada ancaman COVID-19 secara selamat dan sistematik.

Katanya, fasa yang digariskan di bawah PPN adalah tertumpu kepada usaha meringankan beban ke atas kapasiti sistem kesihatan awam, membuka semula sektor ekonomi dan membenarkan aktiviti sosial dalam tempoh masa enam bulan sehingga akhir tahun ini.

PPN tidak statik tetapi dinamik, komprehensif dan boleh ditambah baik mengikut keperluan dan situasi semasa.

Katanya, secara keseluruhan, PPN adalah antara inisiatif kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pembukaan semula ekonomi dan aktiviti sosial secara teratur dan berperingkat.

Beliau menjelaskan strategi peralihan keluar dari krisis COVID-19 melalui PPN dibuat secara berfasa merangkumi empat fasa yang mana peralihan sesebuah negeri dari satu fasa ke fasa yang selanjutnya membabitkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial secara beransur.

“Peralihan ke suatu fasa tidak mengikut jadual masa, tetapi berlandaskan pencapaian kita bersama untuk mengurangkan kadar penularan COVID-19, mengurangkan tekanan kapasiti sistem kesihatan serta meningkatkan tahap perlindungan rakyat menerusi suntikan vaksin.

“Pelan pemulihan seperti ini turut dilaksanakan oleh banyak negara antaranya United Kingdom, Australia dan Singapura. Kita belajar, meneliti dan mengambil amalan terbaik dari negara itu supaya acuan PPN ini dapat dijadikan panduan penting dan sebagai asas kepada proses pemulihan negara,” katanya.

Beliau menjelaskan bagi memastikan PPN berjalan seperti dirancang dan dipantau dengan teliti maka ditubuhkan Majlis Pemulihan Negara (MPN ) dengan penyertaan wakil daripada sektor swasta, pakar industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari impak pandemik kepada aspek kesihatan mental rakyat Malaysia.

Justeru katanya beberapa langkah khusus sudah diambil bagi menyelesaikan cabaran yang dialami rakyat berkaitan isu kesihatan mental.

“Langkah yang diambil adalah seperti mewujudkan talian sokongan psikososial di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan penyaluran dana kepada NGO berkaitan kesihatan mental,” katanya

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply