Kerajaan peruntuk lebih RM16 juta untuk MRSM PDRM di Kulim – Hamzah Zainudin

0
Foto: KDN

KULIM, 25 Julai — Kerajaan memperuntukkan lebih RM16 juta bagi menaik taraf Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, dan membeli aset baharu berkaitan keperluan pelajar di sekolah itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM8.46 juta diluluskan untuk tahun ini, manakala lebih RM7.80 juta diperuntukkan untuk tahun hadapan.

“Sekolah ini telah ditubuhkan pada 1991, sehingga hari ini saya nampak ia memerlukan penambahbaikan, bukan sahaja prasarana yang ada hari ini, tetapi juga aset yang diperlukan seperti katil, tilam dan almari, yang perlu (diganti) baharu.

“Semua projek berkaitan telah pun dimulakan, termasuk baru-baru ini yang telah kita luluskan untuk penyediaan kemudahan Wifi, dan saya harap sekurang-kurangnya pada akhir 2021, semua yang kita rancang dapat diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke MRSM PDRM, di sini hari ini.

Katanya, peruntukkan itu bukan sahaja bertujuan memastikan keselesaan pelajar, tetapi juga diharap dapat menjadikan sekolah itu sebagai pilihan kepada ibu bapa, untuk menghantar anak-anak mereka ke situ.

Foto: KDN

Menurut Hamzah, walaupun sekolah itu dikhususkan untuk anak-anak anggota dan pegawai polis, namun hanya sekitar 20 peratus sahaja tempat diisi oleh mereka, manakala selebihnya terdiri daripada anak-anak orang awam.

“Kita berharap peratusan ini dapat ditingkatkan sehingga sekurang-kurangnya 80 peratus…Saya dan Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador), akan berkerjasama untuk memastikan sekolah ini terkenal pada masa akan datang,” katanya.

Difahamkan ketika ini seramai 657 pelajar bersekolah di maktab tersebut, dengan hanya 20 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada anak anggota dan pegawai PDRM.

— BERNAMA

Leave a Reply