Kerajaan Perpaduan perlu dibina secara berperingkat – MAPIM

0

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berpendapat cadangan untuk menubuhkan kerajaan campuran adalah satu cadangan yang ideal namun realitinya tidak mendukung.

Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan media menyatakan pandangan berhubung usul dan cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad mewujudkan kerajaan tidak berparti adalah berniat baik namun realiti politik di negara ini malah kebanyakan negara yang mengguna pakai sistem demokrasi tidak mendukung usulan itu.

Secara berterus terang Mohd Azmi mengatakan ahli politik dan parti politik terlalu mementingkan kedudukan politik bukan persoalan rakyat dan negara serta mencadangkan sebuah kerajaan dianggotai oleh mereka yang bukan mewakili parti politik menurutnya adalah cara terbaik.

“Akan tetapi sistem kerajaan campuran diperingkat persekutuan untuk waktu ini sukar dilaksanakan kerana ahli parlimen dari parti politik yang mereka wakili harus menyertai kerajaan campuran sedangkan hampir semua wakil rakyat sudah terikat dengan parti masing-masing.

“Kami berpandangan adalah bijak jika usulan ini dibina sedikit demi sedikit dalam kerangka perlembagaan negara kerana banyak hal yang perlu diubah sebelum sistem ini boleh dipertimbangkan dan budaya serta minda politik negara ini baik di kalangan ahli politik mahupun rakyat biasa, kehadiran parti politik dalam kerajaan sudah terbiasa.

“Yang menjadi sangat tidak wajar ialah bila ada ahli politik bertindak saling berkomplot untuk menjatuhkan dan saling berpuak-puak dan bergelumang dalam politik fitnah yang menjijikkan,” katanya.

Beliau bersetuju dengan teguran dan kekesalan Tun Dr Mahathir Mohamad ada kebenarannya kerana kuasa politik terlalu tertumpu kepada perebutan kuasa sehinggakan kepentingan negara yang lebih besar kelihatan dipinggirkan sehinggakan permusuhan dan perseteruan politik nampaknya lebih mendominasi manakala sebahagian rakyat pula bertelingkah sesama mereka dalam media sosial dan saling mencemuh serta melabel.

“Lebih parah ahli politik dalam sesama parti bertelagah, saling mencantas dan mengheret polemik politik ke kancah politik kotor namun apa yang perlu sekarang ialah semua pihak harus menghentikan politik adu domba dan politik memecah belah kerana rakyat sudah lelah serta muak dengan politik bersaing untuk meraih kuasa.

“Atas nama kononnya kuasa rakyat, ada yang mendesak agar membubar parlimen. Ini mungkin jalan terakhir.

“Ia nampak mudah. Akan tetapi rakyat akan diheret ke dalam proses pilihanraya umum yang sangat meletihkan di samping menanggung perbelanjaan yang sangat tinggi dari wang rakyat sendiri, ujarnya.

Menurutnya, jika dilihat cabaran ekonomi yang sangat mencengkam seluruh dunia sekarang, mengundang konflik antara dan dalaman parti politik adalah suatu yang sepatutnya dielakkan kerana kerenah mengendalikan pilihanraya umum secara nasional sebelum tarikh pemerintahan sebuah kerajaan tamat, tidak semestinya menjamin tuntutan rakyat akan selesai namun secara praktikalnya, apa yang bijak dilakukan ialah keputusan YDP Agong dipatuhi dan kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat dalam pilihanraya ke-14 perlu diteruskan.

Mohd Azmi turut menzahirkan kebimbangan dengan ekonomi yang tidak menentu dan isu kesihatan akibat wabak COVID-19, sedang mengancam kesejahteraan negara dan menyelamatkan rakyat serta negara dengan mengujudkan politik yang stabil harus menjadi keutamaan.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply