Kerajaan perlu tetapkan SOP khusus operasi kedai gunting rambut – Dato’ T Murugiah

0

Perkhidmatan gunting rambut merupakan salah satu sektor tambahan yang telah dibenarkan oleh pihak kerajaan untuk beroperasi sepanjang tempoh fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 15 April sehingga 28 April depan.

Naib Presiden MIC, Dato’ T Murugiah dalam satu kenyataan juga menyatakan sokongan atas usaha baik kerajaan prihatin terhadap kemudahan rakyat sekaligus membantu meringankan beban pekerja gaji harian dikalangan “barber shop” ini.

Namun timbul juga kegusaran dikalangan rakyat berikutan isu penjarakkan sosial di antara penggunting dan para pelanggan.

Justeru itu, Dato’ T Murugiah mencadangkan kepada setiap penggunting rambut agar memakai penutup mulut dan hidung semasa melakukan perkhidmatan kepada pelanggan.

Bahkan beliau turut menyarankan penggunaan bahan kimia yang sesuai untuk membunuh kuman selepas menggunakan peralatan seperti gunting, sikat dan sebagainya.

Tambah beliau lagi, setiap “barber” juga perlu mengamalkan langkah pencegahan seperti mencuci tangan menggunakan “hand sanitizer” atau pencuci nyah kuman sebelum dan selepas proses menggunting.

Menurutnya, langkah ini adalah bagi memastikan kebersihan masih dapat dikekalkan walaupun penjarakkan satu meter tidak dapat dipraktikkan semasa melaksanakan perkhidmatan tersebut.

Dalam masa yang sama, beliau berpendapat bahawa kerajaan harus menetapkan SOP yang khusus kepada setiap “barber” sebelum mereka dibenarkan beroperasi agar keselamatan pelanggan dan pendandan rambut terjamin.

Dalam pada itu, beliau berharap semoga rakyat dan kerajaan bersama-sama dapat memerangi jangkitan COVID-19 dan memutuskan rantaian virus pandemik ini.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply