Kerajaan perlu beri galakan kepada rakyat yang bekerja sendiri – Salleh Said Keruak

0

Oleh Salleh Said Keruak

1. Di United Kingdom, jumlah mereka yang bekerja sendiri telah meningkat sejak 20 tahun kebelakangan ini dan mereka kini merangkumi 15% daripada jumlah tenaga kerja di Britain. Dalam tempoh yang sama, jumlah anak muda berumur 16 hingga 24 tahun yang bekerja sendiri telah turut naik dua kali ganda.

2. Merentasi Kesatuan Eropah, mereka yang bekerja sendiri juga adalah kira-kira 15% daripada jumlah tenaga kerja, dengan Itali merangkumi 25%. Tren ini turut berlaku di banyak negara lain, sebagai contoh New Zealand (20%), Korea (25%), Turki (35%), Brazil (35%) dan Greece (35%).

3. Terdapat banyak sebab kenapa ramai memilih untuk bekerja sendiri dan ketiadaan peluang pekerjaan bukanlah selalunya menjadi sebab utama. Sebagai contoh, di Malaysia terdapat seramai 500,000 rakyat yang tidak bekerja berbanding dengan kewujudan seramai tujuh juta pekerja asing. Alasan tiada peluang pekerjaan tidak boleh digunakan sama sekali memandangkan terdapat lebih ramai pekerja asing daripada rakyat yang tidak bekerja.

4. Salah satu sebab kenapa ramai memilih untuk bekerja sendiri adalah disebabkan gaji yang rendah. Mereka boleh memperolehi gaji yang lebih banyak daripada bekerja tetap. Saya sendiri kenal beberapa orang yang menamatkan pengajian dari universiti luar negara namun memilih untuk bekerja sendiri. Mereka boleh mendapatkan gaji selama tiga bulan yang hampir sama jumlahnya dengan setahun gaji sekiranya mereka bekerja tetap.

5. Satu lagi sebab utama adalah fleksibiliti. Mereka tidak perlu bertungkus lumus ke pejabat setiap hari, mengharungi kesesakan lalulintas dan hanya dapat pulang ke rumah pada waktu malam. Waktu kerja mereka adalah fleksibel, maka mereka mempunyai lebih masa untuk membesarkan anak-anak, dan tidak perlu melepaskan tanggungjawab tersebut kepada orang lain, sebagai contoh guru atau penjaga.

6. Menurut Bank Dunia, sekitar 26% daripada tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada mereka yang bekerja sendiri. Ini bukanlah peratusan yang kecil, dan peratusan ini hampir sama dengan Korea. Namun, kita tidak mendengar mana-mana pihak membincangkan perkara ini. Mereka sering berbincang tentang penciptaan peluang pekerjaan namun tidak membincangkan penciptaan peluang pekerjaan untuk mereka yang bekerja sendiri. Kita perlu mengubah mentaliti dan keutamaan kita, dan memahami bahawa mereka yang bekerja sendiri itu sama pentingnya dengan penciptaan peluang pekerjaan.

*Datuk Seri Panglima Dr Mohamed Salleh bin Tun Haji Mohamed Said Keruak pernah menjawat jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah ke-9 dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 2015 sehingga 2018. 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

Leave a Reply