Kerajaan negeri umum bantuan tunai RM150 untuk mahasiswa anak Perak

0

Kerajaan negeri Perak hari ini mengumumkan  perkhabaran baik buat mahasiswa kelahiran negeri berkenaan yang bakal menerima bantuan tunai RM150 setiap seorang.

Bayaran secara ‘one-off’ terbabit melibatkan peruntukan lebih RM200,000 bertujuan meringankan beban para penuntut yang terkesan susulan penangguhan pendaftaran bersemuka bagi sesi semester Oktober 2020.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu ketika mengumumkan peruntukan khas berkata bantuan tunai RM150 membabitkan kira-kira 1,500 mahasiswa anak Perak, khususnya di kalangan keluarga berpendapatan isi rumah bulanan penengah bagi kumpulan terendah iaitu B40.

“Berdasarkan data yang diterima melalui Talian Hotline yang telah diaktifkan sejak 3 Oktober lalu, lebih 1,200 pelajar telah mendaftar dalam tempoh 48 jam.

“Daripada maklum balas yang diterima, di antara keperluan utama kepada golongan mahasiswa ini adalah Bantuan Kewangan, Bantuan Data Mudah Alih (Internet) dan Bantuan Makanan kepada pelajar yang tinggal di kampus.

“Selain itu, kerajaan negeri akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan jika terdapat permintaan daripada kumpulan mahasiswa yang terkandas di kampus melebihi 10 orang, dengan menghubungi terus talian hotline Mahasiswa Perak yang telah diwujudkan oleh pihak pentadbiran negeri,” ujar beliau.

Mendengar keluhan dan permasalahan ramai, beliau amat menghargai para ibu bapa serta waris yang memahami kekangan yang sedang dihadapi semua, walaupun telah mempersiapkan segala keperluan dan kewangan bagi kemasukan anak-anak untuk sesi pembelajaran Oktober tahun ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan pihak Agensi Kerajaan Negeri, syarikat korporat mahupun individu untuk bersama-sama membantu meringankan beban mahasiswa anak Perak yang terjejas.

Sebarang pertanyaan media, boleh berhubung dengan Pejabat Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil melalui talian : Tel : 05-526 4725 / 017-520 7190 (En Zul Iskandar) 019-411 5930 (En Arif Dahalan) atau 05- 209 5016

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply