Berikutan isu menghidupkan semula Parti Komunis Malaya (PKM) kerajaan digesa untuk menggubal undang-undang lebih jelas bagi menghalang segala tindakan dan penyebaran ideologi PKM.

Tan Sri Mohd Ismail Che Rus selaku Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) berkata terdapat kecurigaan di antara bekas ahli dan penyokong PKM mengenai Perjanjian Damai Hatyai.

Menurutnya, hal tersebut perlu disiasat dengan lebih terperinci dan Kementerian Dalam Negeri juga perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua penganjur sekiranya mereka didapati bersalah.

“Siasatan juga termasuk insiden penghinaan terhadap bendera Malaysia. Kejadian itu pasti berlaku bukan secara kebetulan tetapi dirancang dengan niat tertentu.

“Bagi kami ia jelas mencabar undang-undang negara, mengagung-agungkan PKM yang telah diharamkan cuma menghidupkan semula ideologi komunisme yang bertentangan dengan prinsip demokrasi negara dan memperlekehkan pengorbanan anggota keselamatan.

“Permintaan maaf daripada penganjur tidak sepatutnya diterima dengan mudah tanpa siasatan rapi dan tindakan tertentu diambil,” ujarnya.

Kenyataan itu dikeluarkan secara rasmi oleh Presiden RESPA berkenaan bersama 10 orang ahli persatuan bekas polis yang lain pada sidang akhbar hari ini sempena Perhimpunan Pejuang Negara Menentang Ideologi Komunisme di Padang Merbok.

Terdapat sepuluh persatuan yang terlibat dalam perhimpunan tersebut iaitu Persatuan Veteran VAT 69 Komando, Persatuan Bekas Unit Tindakan Khas, Persatuan Polis Pencen Malaysia, Persatuan Polis Pencen Melaka dan Persatuan Polis Pencen Johor, Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Persatuan Skuad 72, Skuad 69 Polis Diraja Malaysia, Persatuan Batalion 7 Pasukan Polis Hutan, dan Persatuan F Team.

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Haniff Omar, Tan Sri Musa Hasan serta beberapa lagi bekas pimpinan kanan PDRM dan kira-kira seramai 3,000 orang yang turut hadir pada perhimpunan berkenaan.

Berbicara lanjut, pihak RESPA berkeras akan menghalang segala usaha, niat atau tindakan mana-mana pihak yang berniat untuk menghidupkan perjuangan dan ideologi komunis di negara ini.

Malah beliau yakin perancangan menghidupkan semula idealogi ini tidak akan berjaya bahkan melalui mana-mana pertubuhan sekalipun.

“PKM adalah persatuan yang telah diharamkan, kalau diwujudkan mestilah melalui pendaftar pertubuhan (RoS) yang berkuasa menentukannya. Kami yakin pendaftaran ini tidak akan diluluskan,” katanya.

Mengulas perkara itu, beliau menyatakan buat masa ini masih belum jelas siapakah pihak yang cuba menghidupkan kembali idealisme komunis terbabit.

“Siapa tulang belakangnya tidak begitu jelas tapi sudah tentu ‘special branch’ tahu mengenainya,” tambahnya lagi.

Terdahulu, dilaporkan seramai 300 individu menghadiri perjumpaan dan perhimpunan yang dipercayai melibatkan bekas anggota PKM di Kajang.

Perjumpaan itu difahamkan sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani Kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989.

Leave a Reply