Kerajaan dan PH tandatangan MOU Transformasi dan Kestabilan Politik

0

Lanskap politik negara melakar sejarah baharu hari ini apabila Ahli Parlimen dari Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik, komitmen bersama.

Ia bagi mengukuhkan kerjasama rentas parti serta mengembalikan semula kestabilan politik.

Memorandum yang terhasil daripada beberapa perbincangan di antara wakil kerajaan dan pembangkang sejak akhir bulan lalu dan dimuktamadkan serta dipersetujui semalam itu.

MOU ditandatangani secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut menandatangani memorandum itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman itu berlangsung di bangunan Parlimen dan disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Tujuh tawaran itu ialah;

* Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

* Pelaksanaan Undi 18 dalam tempoh terdekat. Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan,

* Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

* Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membabitkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.

* Setiap Rang Undang-Undang, termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

* Ahli parti pembangkang akan terbabit dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

* Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Selain tujuh tawaran itu, kerajaan juga komited untuk memperkenal lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply