Kerajaan akan tamatkan Skim Pencen, perkenal mekanisma baharu – Ketua Pengarah JPA

0

PUTRAJAYA, 4 Sept 2019 : Mulai tahun depan, lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat dibawah skim tetap dan berpencen.

Foto : Bernama

Sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambahbaik.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

“Lantikan kontrak mungkin tidak menikmati kelebihan macam skim lantikan tetap dan berpencen sekarang seperti pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan namun faedah tersebut mungkin diterjemah dalam bentuk elaun lebih tinggi,” katanya.

Ujarnya lantikan kontrak yang akan diperkenalkan lebih dinamik dan bersesuaian dengan generasi Y yang tidak begitu setia.

Sekaligus ia memberi mereka opsyen untuk keluar daripada perkhidmatan awam dengan mudah selepas berkhidmat untuk tempoh tertentu.

Ia tertakluk dibawah Akta Perkhidmatan Awam yang melindungi kepentingan penjawat awam, tidak kira berstatus tetap atau kontrak.

“Jadi tidak bolehlah seseorang itu dilantik secara kontrak hari ini dan esok dengan mudah perkhidmatannya boleh ditamatkan,” katanya.

Dalam pada itu ujarnya penjawat awam sedia ada juga mungkin diberi opsyen untuk beralih ke skim lantikan kontrak baharu itu.

Penjimatan yang disasarkan berdasarkan skim lantikan kontrak untuk perkhidmatan awam itu ialah sebanyak RM5 bilion setahun.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam 2019 siang tadi.

Leave a Reply