Kementerian Pengajian Tinggi memberi impak besar kepada komuniti pendidikan tinggi negara

0

9 Mac 2020 merupakan detik-detik gembira dan kecemerlangan dalam kalangan komuniti pengajian tinggi apabila Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang  diterajui oleh Perdana Menteri yang baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan semula Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) setelah 22 bulan diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pelantikan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebagai menteri dan memulakan tugas  pada 11 Mac yang lalu bertekad untuk mengemudi kementerian itu selaras dengan apa yang diamanahkan oleh Perdana Menteri yang mahukan gerak kerja menjadi lebih fokus sejajar dengan langkah pengasingan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Apa yang dikata dikotakan oleh Datuk Seri Dr. Noraini dan KPT apabila lima hari selepas diwujudkan semula, bertindak tangkas apabila Perdana Menteri, pada 16 Mac  jam 10 malam mengumumkan secara langsung mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 berkuat kuasa pada 18 Mac berikutan wabak Covid-19.

Langkah pertama Datuk Seri Dr. Noraini sebagai menteri mengarahkan agar semua IPT membatalkan arahan untuk mengosongkan kampus-kampus sebaliknya mengarahkan agar menyediakan penempatan sementara dan makanan yang secukupnya kepada mahasiswa di kafeteria kampus.

“Kita maklum dengan arahan larangan pergerakan dan pekeliling pentadbiran yang dikeluarkan beberapa universiti awam untuk mahasiswa mengosongkan kampus.

“Namun, tindakan pulang tergesa-gesa dikhuatiri akan mengeruhkan keadaan, dan mahasiswa akan lebih terdedah kepada wabak jika tidak melalui pemantauan yang rapi,” kata beliau kepada The Malaya Post.

Inisiatif-inisiatif KPT berterusan pada 18 Mac apabila KPT mengeluarkan senarai soalan lazim kepada semua institusi pengajian tinggi berkaitan dengan PKP yang memberi penjelasan kepada semua komuniti IPT antaranya, pelajar  di  Universiti Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta termasuk pelajar antarabangsa yang masih berada di kampus (kolej kediaman, rumah sewa atau kediaman peribadi yang lain) perlu kekal berada di premis tersebut walaupun bagi pelajar yang telah membeli tiket pengangkutan ke kampung halaman.

Malahan KPT pada 19 Mac telah mengambil pelbagai inisiatif bagi menghadapi penularan wabak COVID-19 termasuk mengaktifkan Bilik Gerakan COVID-19 di setiap institusi pengajian tinggi (IPT), penyediaan penempatan khas serta bilik isolasi, bantuan bekalan makanan serta penyediaan kemudahan kafetaria dan kedai runcit secara terkawal.

Pihak Kementerian juga telah mengaktifkan Bilik Gerakan atau ‘Command Centre’ COVID-19 ini sejak 10 Februari lalu dan beroperasi 24 jam sehari dengan kekuatan 70 orang yang bertugas secara syif bagi membantu pelajar-pelajar di IPT dalam dan luar negara.

Pada masa yang sama juga kementerian meneruskan pendekatan berhemah tanpa merencatkan pelajaran pelajar IPT dengan  membenarkan kesemua IPT menjalankan pengajaran dan pendidikan (PdP) dalam talian dengan syarat semua pelajar perlu mendapat akses, kesediaan pensyarah dan infrastruktur dapat dipenuhi sepenuhnya.

“KPT tidak mahu terdapat pelajar yang ketinggalan kerana tidak mendapat akses kepada internet. Sesi bersemuka atau face-to-face adalah tidak dibenarkan sama sekali,” kata  Datuk Seri Dr. Noraini ketika dihubungi The Malaya Post.

Selain itu, pelajar yang sedang menjalani Latihan Industri (LI) atau latihan Work Based Learning (WBL) di industri, ditangguhkan serta merta sehingga 31 Mac 2020 kecuali bagi industri pemberi perkhidmatan penting negara.

Kementerian Pengajian Tinggi pada 4 April bagi memastikan kesinambungan pendidikan tinggi telah setuju melanjutkan tarikh tutup permohonan UPU dalam talian bagi calon SPM, STPM dan setaraf dengannya. Permohonan untuk universiti awam, institut pendidikan guru, kolej matrikulasi, kolej komuniti dan institusi latihan kemahiran awam sehingga 17 April.

KPT pada 12 April menawarkan geran penyelidikan khas untuk dibida terbuka kepada semua pensyarah universiti awam dan institut pengajian tinggi swasta bagi menjalankan penyelidikan terhadap bidang-bidang kritikal yang dikenal pasti berkait rapat dengan masyarakat bagi menghadapi pasca Covid-19.

Permulaan kepada sokongan berpanjangan IPT kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan sekumpulan pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Port Dickson menghasilkan pelindung muka (face shield) untuk dibekalkan kepada petugas barisan hadapan.

Bertindak dengan permohonan ibu bapa dan pelajar, KPT pada 27 April memulakan misi menghantar pulang pelajar dengan misi pertama lebih 800 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta ke kampung masing-masing secara berperingkat selepas terkandas di kampus, dengan perlu memenuhi garis panduan kesihatan yang dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini menjelaskan sembilan pusat pelepasan itu akan mengendalikan pergerakan pelajar ke 17 destinasi di tiga buah negeri di utara tanahair menggunakan perkhidmatan 50 buah bas yang telah disanitasi, dengan 32 buah bas menuju ke Kedah, 13 ke Pulau Pinang dan lima ke Perlis,” kata beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya.

Misi penghantaran pulang pelajar dalam negara dan luar negara melibatkan 56,565 pelajar membabitkan 1,860 buah bas, 137 penerbangan.

KPT berterusan memastikan pelajar IPT diberi keutamaan dan bantuan apabila 26 Ogos Kerajaan bersetuju untuk mengurangkan yuran asrama dan yuran perkhidmatan universiti awam (UA) sehingga 15 peratus, bagi membantu meringankan beban institusi berkenaan ekoran impak wabak COVID-19 di negara ini.

Namun 2 Oktober, KPT mengarahkan   semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi pelajar baru dan lama ke kampus masing-masing yang mendapat kritikan daripada ibu bapa apabila ia diumumkan pada saat akhir.

Arahan KPT bagaimanapun merupakan tindakan yang tepat kerana jumlah pesakit Covid-19 meningkat secara mendadak dan sekaligus menyelamatkan kampus-kampus IPT dari menjadi pusat wabak.

Bagaimanapun pendaftaran tidak terhenti kerana KPT mengarahkan semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilakukan secara dalam talian, termasuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

KPT amat prihatin dengan pandangan pelbagai pihak serta kebimbangan yang disuarakan oleh para pelajar, ibu bapa dan masyarakat dengan peningkatan kes COVID-19 yang berlaku hanya selang beberapa hari sahaja dari tarikh kemasukan pelajar baharu ke universiti.

4 Oktober Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan syarikat penerbangan telah memansuhkan caj atau bayaran tambahan kepada pelajar yang ingin melakukan penjadualan semula tiket penerbangan.

Pelajar-pelajar terus mendapat akses kepada pendidikan apabila kementerian mengumumkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian dengan  bantuan data dan peranti bagi pelajar IPT  pada 31 Oktober.

Berita gembira juga datang pada 25 November apabila kementerian mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan had jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada RM6,800 kepada RM8,000 bagi setiap semester bagi pelajar B40 melanjutkan program diploma di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Nampaknya berita gembira dalam kalangan komuniti pengajian tinggi berterusan apabila Datuk Seri Dr. Noraini mengumumkan bahawa 80 peratus graduan bakal dapat pekerjaan menerusi PENJANA KPT-CAP.

Datuk Seri Dr. Noraini pada 26 November di Dewan Rakyat memberitahu program itu memanfaatkan 7,596 graduan dan sekurang-kurangnya 80 peratus atau 6,077 graduan akan mendapat penempatan pekerjaan.

Kewujudan KPT secara dasarnya telah memberikan sinar dan berita gembira tidak kesudahan kepada komuniti pengajian tinggi terutama kepada pelajar yang berhadapan dengan cabaran berikutan wabak Covid-19. –THE MALAYA POST

Penulis adalah bekas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia dan wartawan Utusan Malaysia.

Hata Wahari / Penulis

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply