Kementerian Hal Ehwal Ekonomi lulus dana RM8 juta menaiktaraf Institut Kemahiran Tenun Pahang DiRaja

0

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menghadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Negara dan menyembah maklum kerajaan telah meluluskan dana berjumlah RM8 juta untuk Institut Kemahiran Tenun Pahang DiRaja (IKTPD).

Beliau memaklumkan, dana yang disalurkan melalui Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bertujuan bagi menaik taraf IKTPD di Pekan, Pahang.

“Hati patik tertawan dengan kemahiran, kehalusan serta keindahan kerja tangan yang ditampilkan oleh pelajar-pelajar Institut Kemahiran Tenun Pahang DiRaja (IKTPD) di Pekan.

“Minat dan kesungguhan KDYMM Tuanku untuk menyemarakkan kegiatan kemahiran warisan anak watan negeri Pahang amat mengagumkan.

“Patik yakin dana peruntukan ini akan mengangkat serta menyemarak martabat seni kemahiran tangan dan warisan tenun Pahang hingga ke persada antarabangsa,” kongsi Dato’ Seri Mohamed Azmin penuh santun di laman Facebook milik beliau.

Umum mengetahui, Raja Permaisuri Agong amat meminati kraf tradisional dan begitu aktif mempromosi kraf negara sejak 2006.

Baginda sinonim dengan tenun Pahang dan telah memilih fabrik eksklusif yang menjadi identiti negeri Pahang itu sebagai persalinan DiRaja pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang lalu.

Melihat kepada kesungguhan baginda, maka tidak hairanlah Raja Permaisuri Agong telah diiktiraf dan diberi penghormatan sebagai Ikon Kraf 2019 oleh Majlis Kraf Dunia (WCC), atas sumbangan baginda dalam mengekalkan warisan kraf tradisional.

Atas rasa cinta dan tanggungjawab terhadap khazanah kraf dan seni negara baginda dilihat terus mengambil berat menjaga seni warisan seperti tenun, songket dan batik agar terus kekal dan relevan serta mahu generasi muda mewarisi kemahiran warisan ini.

Atas dasar keprihatinan dan turut sama mahu menyumbang kepada pendidikan seni atau lebih tepat kemahiran seni tangan ni, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi meluluskan dana menaik taraf IKTPD.

Untuk rekod IKTPD menawarkan program Pengajian Sijil Seni Kraf Tenunan (Tenun Pahang DiRaja) sepenuh masa berobjektif sebagai pusat kecemerlangan pendidikan kraf yang dapat melahirkan tenaga mahir, usahawan kraf serta sebagai pusat rujukan, penyelidikan juga pemuliharaan warisan negara.

Ini jelas membuktikan kerajaan begitu mengambil berat akan usaha baginda Raja Permaisuri Agong dalam memartabat serta mempromosi khazanah tradisi bertaraf dunia sekaligus memberi impak positif terhadap pelancongan negara.

Yang jelas kita dapat mendefinisikan setiap impian dan kemajuan bertujuan untuk bekerja menuju dunia di mana harapan tidak diatur stereotaip.

Tetapi disusuli dengan semangat, rasa tanggungjawab, bakat serta minat.

Sesuai kita terjemahkan, nilai manusia adalah semahal nilai matlamatnya berserta sebuah jiwa yang mengenali apa itu keindahan. – THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply