Kemenangan PRN Sabah referendum sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri – Timbalan Presiden BERSATU

0

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah merupakan satu referendum sokongan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kemenangan berkenaan sekaligus memberi isyarat yang amat jelas bahawa rakyat Sabah menyokong segala usaha kerajaan Persekutuan dalam membela kebajikan rakyat dan usaha menjana semula ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

“Kita berharap dengan selesainya PRN Sabah ini akan menamatkan kemelut politik di negeri Sabah.

“Kerajaan negeri melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan dibentuk perlu diberikan ruang untuk memberi sepenuh perhatian kepada usaha membela nasib rakyat,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Melalui kenyataan bertulis terbabit, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para pengundi di atas kepercayaan kepada Perikatan Nasional bersama GRS dalam membentuk kerajaan negeri yang baharu di Sabah dan semua jentera parti-parti komponen yang komited berjuang sehingga ke akhir tempoh berkempen.

“Kejayaan ini membuktikan kerjasama dan penyatuan yang begitu utuh di kalangan rakan-rakan dalam GRS biarpun ditubuhkan dalam tempoh yang singkat.

“Komitmen Perdana Menteri untuk membantu kerajaan negeri Sabah dalam menunaikan aku janji kempen PRN Sabah adalah hadiah paling bernilai buat rakyat Sabah di atas kepercayaan yang diberikan kepada wakil-wakil rakyat GRS,” kata beliau.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply