Ini satu undi kepercayaan dan kemenangan rakyat – Najib Razak

0

“Hidup rakyat! Hidup rakyat! Hidup rakyat!

Warga pengundi Tanjung Piai, terima kasih kerana memberikan keyakinan sekali lagi kepada Wee Jeck Seng untuk mewakili tuan-tuan dan puan-puan semua.

Ini satu undi kepercayaan kepada Wee Jeck Seng, MCA, Barisan Nasional dan MUAFAKAT NASIONAL.

Kuasa di tangan rakyat dan ini adalah kemenangan rakyat. It is the people’s victory”, ucap Dato’ Seri Mohd Najib Razak sejurus diumumkan kemenangan rasmi berpihak kepada calon Barisan Nasional, Dr Wee Jeck Seng dengan majoriti lebih besar iaitu 15,086 undi.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional menyifatkan pilihanraya kecil, PRK Tanjung Piai satu medan perjuangan yang amat sukar.

Beliau berkata demikian berikutan jentera dan sumber yang ada pada Pakatan Harapan, PH begitu dahsyat sekali.

“Kira-kira RM30 juta ditabur oleh kerajaan Persekutuan dan Negeri dan angka ini mungkin melambung lebih jika diambil kira dana politik mereka”.

“Sampaikan ada iklan politik di muka depan akhbar Sinar Harian dan New Straits Times meminta rakyat mengundi Pakatan Harapan”.

“Naskhah-naskhah ini diedarkan secara percuma juga dan ditambah lagi kad prabayar percuma, minyak masak serta macam-macam lagi “hadiah” untuk penduduk Tanjung Piai oleh Pakatan Harapan”, katanya.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Najib turut mengkritik apabila terdapat menteri-menteri yang masih berkempen pada hari mengundi sedangkan ini tidak dibenarkan seperti termaktub dalam peraturan yang ditetapak Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR.

“Sama ada kesemua ini mematuhi peraturan, undang-undang dan etika kempen, hanya SPR dan BERSIH boleh jawab”.

“Namun sama seperti di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, atau kes-kes lain melibatkan kesalahan Pakatan Harapan, ramai masih tertanya akan tindakan lanjutan yang akan diambil”.

Tiada demonstrasi yang akan dianjurkan. Tiada sesiapa yang akan bergolek di jalan raya atau bermalam di Dataran Merdeka”, ujarnya.

Beliau turut menyatakan rasa terkilan di atas ketidakadilan yang dilalui oleh jentera Barisan Nasional.

Namun bersetuju bahawa jentera parti tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasa kecuali kuasa rakyat dan tidak akan berputus asa dalam meraih sokongan ramai.

“Jentera Barisan Nasional dan calon kita Wee Jeck Seng hanya berbekalkan mikrofon, ucapan dan kemesraan bersama pengundi”.

“Kita bawa keikhlasan dan senyuman berjumpa dengan pengundi sahaja. Wee Jeck Seng telah lama berada di sini dan mempunyai hubungan baik dengan masyarakat setempat”, katanya.

Dato’ Seri Mohd Najib turut menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada rakan-rakan kita dari PAS terutama Presiden Tuan Guru Datuk Seri Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan, seluruh barisan kepimpinan PAS serta ahli-ahli PAS.

“Terima kasih kerana kejayaan kita di Tanjung Piai juga adalah atas sumbangan tenaga dan sokongan saudara-saudari”.

“Rakyat telah menghantar mesej yang jelas kepada Pakatan Harapan.Pakatan Harapan perlu sedar.Cukuplah berjanji manis dan bercakap kosong.Cukuplah menyusahkan rakyat.Cukuplah dengan pembohongan dan fitnah.Malaysia kini dalam krisis, rakyat kini menghadapi krisis, tambahnya.

Beliau turut menyatakan Muafakat Nasional menjadi pilihan rakyat dan beliau bersama rakan-rakan akan menggenggam erat kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada gabungan ini.

“Saya akan berdiri bahu ke bahu bersama mu semua, memperjuangkan isu-isu rakyat.Terima kasih Tanjung Piai, ujarnya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Md Farid akibat komplikasi jantung 21 September lalu.

Ia menyaksikan pertandingan enam penjuru yang melibatkan calon PH Karmaine Sardini, calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Leave a Reply