Kematian Philip satukan William, Harry

0

LONDON : Putera William  dan Putera Harry akan hadir majlis pengebumian Duke of Edinburgh, Putera Philip yang dijadualkan berlangsung Sabtu depan.

Memetik laporan Daily Mail, Putera Charles dan anggota kerabat diraja lain termasuk Putera William dan Putera Harry akan berjalan kaki bersama di belakang kenderaan rasmi yang membawa keranda Putera Philip dalam majlis pengebumian Duke of Edinburgh.

Lapor Daily Mail, adik-beradik tersebut dijangka berdiri berdampingan dalam perarakan diraja dalam upacara pengebumian yang bakal berlangsung di Istana Windsor.

Ia bakal menjadi penampilan bersama yang pertama anggota kerabat diraja itu selepas pendedahan kontroversi oleh Harry dan isterinya, Meghan Markle dalam satu wawancara eksklusif bersama pengacara terkenal, Oprah Winfrey.

Dalam wawancara tersebut, Harry mendakwa William `terperangkap’ dalam sistem monarki.

Bagaimanapun, Duchess of Sussex yang kini hamil dengan anak kedua dan berada di California dilaporkan tidak akan menghadiri majlis pengebumian Philip atas nasihat doktor.

Seorang penganalisis mengenai kerabat diraja berpandangan bahawa kehadiran Harry ke upacara itu memberi peluang kepadanya untuk memperbaiki hubungan yang renggang disebabkan wawancara kontroversi itu.

Menurut seorang sumber, keluarga diraja menghadapi waktu getir ini secara bersama meskipun terdapat ketegangan hubungan akibat wawancara tersebut.

Dalam pada itu, mayat Putera Philip akan dibawa ke St George Chapel di Istana Windsor menerusi kereta Land Rover yang dibina khas dan diiringi oleh pemegang pengusung antaranya dari pasukan Tentera Marin Diraja Britain.

Memetik laporan Daily Mail Putera Harry akan berlepas dari California dalam masa terdekat dan mengikut protokol Covid-19 sepanjang perjalanannya dan juga semasa kehadirannya di Britain.

Leave a Reply