Kemas Sabah serah kit peralatan bantu usahawan pastri

0

PUTATAN, 17 Okt. – 30 orang peserta Quick Win anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat Wilayah Sabah menerima bantuan kit peralatan masakan berasaskan pastri seperti Ketuhar (Oven) Elektrik, Mesin Pengadun Makanan serta Meja Keluli.

Kit Peralatan ini disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu majlis di Dewan Kampung Petagas, di sini hari ini.

Bantuan kit peralatan ini adalah berdasarkan kepada kursus yang diikuti dengan kadar maksimum bantuan peralatan sebanyak RM4,000.00 bagi setiap peserta.

Ia termasuk bahan pembelajaran sepanjang kursus berlangsung serta kos latihan selama 3 hari secara bersemuka atau 5 hari secara atas talian.

Menurut Datuk Seri Mahdzi, pemilihan peserta Quick Win KEMAS adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria.

Antaranya Kumpulan B40, individu yang telah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan serta menunjukkan minat untuk mengembangkan perniagaan.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui KEMAS sentiasa berusaha untuk mencari jalan bagi meningkatkan pendapatan masyarakat di luar bandar khususnya bagi mereka yang mempunyai keinginan untuk mencari peluang-peluang baru dalam perniagaan perusahaan kecil-kecilan di rumah seperti membuat kek, pastri dan juga kuih-kuih tradisional”, katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Program Quick Win mula dilaksanakan di KEMAS pada tahun 2017.

Sehingga tahun 2020, program tersebut telah mempunyai seramai 16,293 orang peserta.

Antara bidang yang paling menjadi pilihan adalah bidang masakan iaitu melibatkan seramai 4,416 orang peserta.

Program Pendidikan Kemahiran KEMAS telah diluluskan sejumlah peruntukan pembangunan bertujuan memberikan latihan dan kursus lima bidang utama iaitu Masakan, Jahitan, Dandanan Diri, Senitangan serta Pendidikan Kesejahteraan Keluarga.

Tahun ini, KEMAS telah menerima peruntukan berjumlah RM13.2 juta bagi melaksanakan program-program kemahiran.

Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM2.74 juta adalah peruntukan bagi melaksanakan program Quick Win.

“Walaupun negara kita berhadapan dengan penularan pendemik Covid19, namun ianya tidak menghalang KEMAS untuk mengadakan kursus secara dalam talian sebagai alternatif bagi memastikan KEMAS tetap mendampingi masyarakat luar bandar dan berjaya mensasarkan seramai 760 peserta yang akan menerima manfaat darilada pelaksanaan program Quick Win kali ini”, kata Datuk Seri Mahdzir lagi.

Bagi negeri Sabah, sejumlah 1,672 orang menerima bantuan Quick Win sejak tahun 2017 sehingga 2021 melibatkan peruntukan sebanyak RM2.49 juta

Kursus Kemahiran Quick Win mensasarkan kumpulan belia dan beliawanis B40, peserta kelas kemahiran KEMAS, ibu tunggal, suri rumah dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Pelaksanaan kursus ini diharap dapat memberi impak dalam memberikan pendedahan kepada peserta yang berpotensi dan ingin menambah pendapatan dalam bidang kemahiran yang diceburi dan seterusnya mampu untuk menjadi pengusaha luar bandar yang berjaya,” katanya.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply