Kemas gerakkan misi bantuan pasca banjir libatkan 1,256 sukarelawan kakitangannya

0

BANGI, 23 Dis. – Jabatan Kemajuan Masyarakat, KEMAS, menggerakkan misi bantuan pasca banjir ke negeri-negeri terjejas membabitkan 1,256 sukarelawan kakitangannya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, misi bantuan di bawah program KEMAS Prihatin itu dilaksanakan selama tiga hari bermula hari ini.

“Kita menggerakkan inisiatif bantuan ini bukan hanya untuk kerja-kerja pembersihan premis-premis Tabika dan Taska KEMAS yang terjejas dilanda bencana banjir, tetapi juga rumah-rumah penduduk yang berhampiran.

Kita berharap dengan bantuan yang digerakkan ini akan membolehkan premis-premis Tabika dan Taska KEMAS dapat bersedia menerima kemasukan anak-anak kerana tidak lama lagi sesi persekolahan akan bermula.”

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Ringkas Pelancaran Misi Bantuan Pasca Banjir KEMAS Prihatin di Institut Kemajuan Desa, INFRA, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Menurut Datuk Seri Mahdzir, sejumlah 207 premis Tabika, Taska dan Pusat Kegiatan KEMAS diseluruh negara dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir kali ini.

Paling teruk terjejas, premis Tabika KEMAS di Selangor dengan jumlah 111 buah dan di Pahang 58 buah.

Manakala sejumlah 357 kakitangan KEMAS sendiri turut menjadi mangsa bencana banjir di seluruh negara.

Tambah Mahdzir, sukarelawan kakitangan KEMAS yang terlibat dalam misi bantuan itu pula, dikumpul dari seluruh negara.

Antara kawasan tumpuan misi bantuan pasca banjir itu termasuk ke Hulu Langat, Puchong, Shah Alam, Klang dan Pahang.

“Saya mengucapkan tahniah atas kesediaan semua sukarelawan kakitangan KEMAS yang terlibat dalam misi bantuan ini dan ini juga merupakan satu ibadah kepada kita dalam membantu melapangkan kesusahan orang lain,” kata Datuk Seri Mahdzir.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply