Kekalkan “status quo” jawatan Setiausaha Agung BERSATU dan tangguhkan dahulu politik kepartian pada masa ini – Haniff Khatri

0

Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla tampil menyatakan pendirian agar  Setiausaha Agung (SUA) BERSATU dikekalkan sebagai “status quo” berikutan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melantik Dato’ Seri Hamzah Zainuddin bagi menggantikan Dato’ Marzuki Yahya yang telah dipecat pada 18 Mac lalu.

Haniff Khatri yang juga Ketua Biro Perundangan BERSATU dan salah seorang penggubal Perlembagaan Asal BERSATU serta terlibat secara terus pendaftaran parti berkenaan sejak penubuhan, dan telah dari masa ke semasa memberi pelbagai nasihat dan khidmat kepada BERSATU sebelum ini terpanggil untuk memberi pandangan objektif dan jujur berkaitan isu kewujudan dua SUA BERSATU ini.

“BERSATU kini mempunyai dua SUA dengan masing-masing menyokong Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kekusutan berlaku susulan pemecatan Dato’ Marzuki Yahya sebagai SUA pada 18 Mac lalu oleh Tan Sri Muhyiddin.

“Bagaimanapun menurut Dr Mahathir, tindakan itu terbatal dan tidak sah kerana tidak memenuhi peraturan parti.

“Menurut Dr Mahathir, peraturan tersebut menyatakan bahawa dirinya mesti dirujuk mengenai penyingkiran atau pelantikan seorang SUA dan syarat itu tidak dipenuhi,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar isu berkaitan pemecatan dan pelantikan baru Setiausaha Agung BERSATU ini dikekalkan “status quo” dan tiada perubahan dilakukan.

Tambahan pula, ROS sendiri (bertarikh 16 Mac) memberi arahan kepada kesemua parti agar tidak ada mana-mana perjumpaaan ataupun majlis ataupun perhimpunan diadakan sehingga 30 Jun maka ianya tidak munasabah untuk menerima mana-mana perubahan daftar Parti BERSATU yang kononnya berlaku dalam tempoh 16 Mac sehingga 30 Jun kelak.

“Yang keduanya, melainkan atas pengecualian bertulis ROS, mana-mana Mesuarat MPT BERSATU pun tidak akan dapat dilakukan sebelum daripada 30 Jun , lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertarikh 16 Mac yang berkuatkuasa mulai 18 Mac sehingga sekurang-kurangnya 31 Mac dan sehingga mana-mana tempoh lanjutan jika ada, maka isu kesahihan atau sebaliknya surat pemecatan Dato’ Marzuki Yahya dan pelantikan Dato’ Seri Hamzah Zainuddin tidak boleh dibincangkan dan diputuskan oleh MPT BERSATU lagi, yang mewajibkan ROS untuk “preserve the status quo”.

“Adakah ini masanya untuk kita cuba mengalihkan perhatian kesemua pihak daripada cabaran genting wabak COVID-19 kepada isu politik kepartian, sedangkan tidak pun ada apa-apa efek penting berkaitan perubahan SUA BERSATU pada masa ini, kerana tiada  mana-mana aktiviti politik boleh pun dilaksanakan sehingga sekurang-kurangnya 14 April, apatah lagi apabila pemilihan pucuk pimpinan BERSATU cuma akan dapat dijalankan selepas 30.06.2020, seperti arahan ROS sendiri?

“Bukankah Kerajaan Persekutuan, yang diterajui oleh satu pihak dari BERSATU sendiri, iaitu Presiden BERSATU sebagai Perdana Menteri sedang sebaiknya mendahului dengan segala usaha yang perlu untuk berhadapan dengan COVID-19, maka apakah ada perlunya untuk berurusan dengan perkara remeh dan tidak perlu tentang perubahan  Setiausaha Agung BERSATU, yang tidak akan mempunyai efek positif kepada politik negara mahupun politik parti BERSATU pada masa ini,” katanya.

Oleh kerana itu, beliau menyeru kesemua pihak dalam BERSATU untuk tidak menjejaskan “status quo” kesemua kedudukan dalam parti BERSATU sehinggalah telah selesai pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti BERSATU, selepas bulan Jun 2020 nanti, dan ini juga akan elakkan kekeliruan dan kecelaruan di kalangan ahli akar umbi parti BERSATU sendiri.

Haniff Khatri juga menyarankan semua pihak memberi sepenuh tumpuan terhadap cabaran wabak COVID-19 yang melanda seluruh negara yang kini dilaporkan melibatkan lebih 2,000 kes positif dan 23 kes kematian setakat hari ini (27 Mac).

Wabak COVID-19 adalah satu cabaran yang dihadapi manusia di seluruh dunia, di mana kesemua aktiviti ekonomi mahupun aktiviti pencarian pendapatan masyarakat, perolehan pendidikan Ijazah mahupun pendidikan sekolah anak-anak muda, juga segala bentuk sukan sampai ke tahap tertinggi seperti Sukan Olimpik dan Kejuaraan Bolasepak EURO telahpun tertangguh dan tergendala, tatkala agenda utama di serata dunia adalah cuma berkaitan Kemandirian Kemanusiaan Human Survival) dan keselamatan manusia untuk menewaskan wabak COVID-19 ini.

Begitu juga di negara kita Malaysia, segenap lapisan masyarakat, didahului dengan barisan hadapan Kementerian Keselamatan Malaysia (KKM) termasuk dan tidak terhad kepada wirawan dan wirawati para doktor, jururawat dan pembantu hospital awam mahupun swasta, dibantu dengan rapi oleh anggota-anggota keselamatan PDRM dan kini berganding bahu dengan anggota-anggota ATM, bersama sokongan pelbagai program dan bantuan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, serta kesemua bentuk Agensi Kerajaan Persekuruan dan Negeri, dan segolongan majoriti rakyat yang menyokong dan membantu melaksanakan keperluan PKP yang telah dimulakan sejak 18 Mac dan dijadualkan berterusan sekurang-kurangnya sehingga 14 April, seluruh negara mengembeling tenaga untuk berperang dengan wabak COVID-19 itu, agar kesemua kita boleh kembali kepada kehidupan biasa dengan selamat.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply