Peranan Dr. Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam peralihan kuasa Perdana Menteri

0

Hampir setiap hari, berita dan perkembangan mengenai peralihan kuasa Perdana Menteri menjadi topik utama laporan di media massa mahupun sosial.

Ia menjadi perdebatan di kalangan netizen melalui platform media sosial mahupun perbincangan hangat di kalangan ahli politik serta rakyat.

Malah ada yang mula bertanya dan mempersoalkan kedudukan Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) serta peranan beliau dalam transisi kuasa bagi jawatan kepimpinan nombor satu negara yang khabarnya akan diserahkan kepada suami beliau yang juga Presiden PKR seperti yang dijanjikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla diasak wartawan bertanya berkenaan peranan TPM dalam isu terbabit..

Beliau menjelaskan dalam keghairahan ramai berbicara soal peralihan kuasa Perdana Menteri terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim, namun ramai terlepas pandang kedudukan serta peranan Dato’ Seri Dr. Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Dalam semua sedang ghairah bercakap tentang peralihan kuasa yang dijangka berlaku dari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada penggantinya bernama Dato’ Seri Anwar Ibrahim, satu orang penting sering diabaikan oleh pengkritik, pemerhati dan penganalisis.

“Memandangkan Tun Dr. Mahathir menghitung hari-harinya di Putrajaya, tidaklah sukar untuk melihat bahawa Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr  Wan Azizah Wan Ismail difahamkan bersiap sedia untuk keluar juga.

“Perkara 43 perlembagaan tidak menyebutkan keadaan di mana kedudukan seorang Perdana Menteri dan timbalannya adalah suami dan isteri”, kata beliau melalui perkongsian info di laman Facebooknya.

Peguam Haniff Khatri berkata ia tidak salah dan secara sah untuk Dato’ Seri Anwar serta  isteri berada dalam kabinet pada masa yang sama.

“Oleh itu, terpulang kepada parti pemerintah untuk membuat keputusan jika mereka fikir rakyat boleh menerimanya.

“Isu undang-undang adalah jalan keluar tetapi dilema moral tetap kekal dan adakah perkara yang betul untuk dilakukan?

“Ini boleh dikatakan dari banyak sudut pandang, tetapi apa yang penting ialah segala sesuatu dilakukan mengikut peraturan undang-undang,” tambahnya.

Beliau turut mempersoalkan, bukankah Pakatan Harapan (PH) memperjuangkan konsep keadilan dan kesaksamaan hakiki dan bebas daripada politik kekeluargaan.

“Maka, bukankah persoalan berkaitan kedudukan Dato’ Seri Dr. Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri sepatutnya menjadi isu yang perlu juga ditangani dan diselesaikan bersama dengan isu peralihan kuasa Perdana Menteri dan bukannya secara berasingan,” ujar Haniff Khatri.

— THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply