Kedah catat rekod pelaburan tertinggi di Malaysia

0

KUALA LUMPUR : Kedah mencatat rekod tertinggi nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM43 bilion bagi suku pertama tahun ini.

Ia sekaligus mengatasi beberapa negeri perindustrian utama Malaysia.

Lapor Berita Harian, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pencapaian itu dianggap sebagai menakjubkan kerana ia berlaku dalam suasana muram pelbagai sektor di seluruh dunia.

Jelasnya, Kedah terus berjaya meraih keyakinan pelabur hasil kerjasama erat semua pemegang taruh dan kesungguhan pegawai kerajaan di semua peringkat.

“Terima kasih kepada semua pelabur yang menaruh keyakinan tinggi terhadap Kerajaan Negeri, meskipun dalam belenggu pandemik COVID-19 ketika ini.

“Ini juga adalah bukti komitmen dan kesungguhan pegawai kerajaan di semua peringkat yang tidak berbelah bahagi dalam memajukan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum ini mengumumkan Malaysia meraih pelaburan diluluskan bernilai RM80.6 bilion bagi tempoh Januari hingga Mac 2021, meningkat 95.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, iaitu sebanyak RM41.2 bilion.

Lima negeri tertinggi nilai pelaburan diluluskan adalah Kedah sebanyak RM43 bilion, Selangor (RM8.6 bilion), Sarawak (RM6.9 bilion), Sabah (RM5 bilion dan Kuala Lumpur (RM4.9 bilion).

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya yakin nilai pelaburan diluluskan Kedah tahun ini akan terus meningkat berikutan data yang dikeluarkan MIDA adalah hanya bagi tempoh suku pertama.

“Apa yang direkodkan Kedah bagi suku pertama 2021 adalah hasil pelaburan dalam beberapa projek berimpak tinggi awal tahun ini dan berdasarkan perancangan semasa, nilai ini boleh meningkat lebih tinggi.

“Di Kedah, kita mempunyai pasukan yang saling bekerjasama rapat termasuk dalam kalangan pegawai Kerajaan Negeri (KCS), Kerajaan Persekutuan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan juga Pihak Berkuasa Tempatan serta pemimpin Kerajaan Persekutuan yang amat membantu,” katanya.

Untuk rekod, bagi keseluruhan 2020, Kedah mencatat nilai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM5 bilion merangkumi sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa
tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

 

Leave a Reply