Kebenaran rentas negeri pada Isnin hingga Khamis sahaja

0

PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meluluskan pergerakan rentas negeri pada Isnin hingga Khamis sahaja dengan enam alasan yang dipertimbangkan.

Alasan itu membabitkan tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian ahli keluarga terdekat, perubatan, pendidikan serta menemui pasangan jarak jauh.

Manakala permohonan untuk pergerakan pada hujung minggu tidak akan diluluskan selain hal kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh.

Langkah mengetatkan syarat permohonan itu diambil susulan peningkatan kes baharu positif COVID-19 sejak empat hari lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketetapan ini akan berterusan sehingga selepas Aidilfitri dan mana-mana pihak yang ingkar akan diambil tindakan tegas.

“Kita mengambil serius perkara itu, justeru usaha mengekang penularan COVID-19 diperketatkan oleh PDRM, yang mana pergerakan merentas negeri hanya dibenarkan untuk enam jenis alasan sahaja.

“Hanya enam alasan dipertimbangkan untuk diberi kelulusan dan pemohon hanya boleh merentas negeri pada Isnin hingga Khamis saja,” katanya dalam satu kenyataan medianya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Acryl Sani berkata, permohonan pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis atau jamuan dilarang.

“Semua ketua polis daerah (KPD) dan pasukan pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan digerakkan ke lapangan bagi menangani isu ketidakpatuhan SOP masyarakat di bazar Ramadan dan pasar malam.

“Sekiranya didapati SOP tidak dipatuhi, PDRM akan mengemukakan saranan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya aktiviti perniagaan di kawasan terbabit dihentikan,” katanya. –THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply